KEBIMBANGAN susut berat badan sebanyak empat kilogram (kg) diketepikan jaguh pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi selepas jurulatih menganggap penurunan berat badannya itu satu perkembangan yang baik.

Haiqal berkata, setelah lama tidak menyertai kejohanan dan fokus kepada pemulihan kecederaan buku lali yang dialami sebelum ke Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand tahun lalu, dia mula bimbang penurunan berat badannya itu akan menjejaskan kelajuan.

“Saya ada beritahu pada jurulatih bahawa berat badan saya turun ke 67kg, tapi dia bersahaja menjawab, OK lah tu… perlu turun lagi.

“Saya terkejut dan saya beri alasan lagi bahawa berat badan saya sebelum ini 71 atau 72kg, tapi dia katakan berat terkini saya OK, jadi saya ikutkan sahaja,” kata Haiqal berkongsi perkembangan dirinya.

Haiqal mengalami kecederaan buku lali ketika menjalani latihan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) ketika melakukan persiapan ke kejohanan di Pattaya, yang menyaksikannya turut terlepas peluang beraksi di Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Muhammad Haiqal Hanafi membuat kemunculan pertama di KL All Comers bulan lalu, selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali.

Namun pada Kejohanan Kuala Lumpur All Comers, bulan lalu, Haiqal mempamerkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan pertama disertainya sejak cedera, apabila berjaya mencatat masa 10.59 saat (s) sekali gus meraih pingat perak di belakang Jonathan Nyepa (10.47s).

Dia bersama pelari pecut kebangsaan berada di bawah jagaan jurulatih Mohd Poad Md Kassim berkata, catatan itu memberinya keyakinan untuk mengembalikan zaman kegemilangannya sebagaimana ketika meraih pingat emas Sukan Sea 2019 di Filipina.

“Saya yakin dengan apa yang coach Poad katakan, saya akan ikut untuk meningkatkan catatan masa dan azam saya tahun ini adalah nak comeback.

“Dari segi fizikal sekarang saya nak ketepikan kata-kata orang bahwa badan saya susut boleh jejas kelajuan dan sebagainya dan tiba masa untuk saya buktikan dengan catatan masa yang lebih baik,” ujarnya, yang turut mahu melepasi masa kelayakan ke Sukan Sea Bangkok tahun hadapan.

“Tiada pilihan, perlu melayakkan diri tahun ini juga untuk Sukan Sea tahun hadapan.

“KL All Comers adalah kejohanan pertama tahun ini dan saya perlu dapatkan masa yang baik dalam tempoh enam bulan terdekat ini sekali gus mengambil semula tempat dakan kuartert 4x100m.”