PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memerlukan sekurang-kurangnya tiga jurulatih tambahan bagi memperkukuhkan struktur latihan skuad perseorangan senior dan junior.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen, berkata keperluan itu dikenal pasti selepas penilaian menyeluruh terhadap sistem kejurulatihan sepanjang 12 bulan lalu.

Menurutnya, fokus utama adalah fasa peralihan pemain berusia 19 hingga 22 tahun yang disifatkan sebagai tempoh paling mencabar dalam pembangunan pemain elit.

“Kami memerlukan jurulatih mencukupi untuk memantau laluan pemain dari peringkat remaja hingga ke pasukan kebangsaan senior,” kata Jonassen.

Beliau berkata kehadiran datuk Tey Seu Bock kembali ke skuad senior, memberi impak besar, namun sistem penggiliran jurulatih diperlukan untuk mengendalikan bilangan pemain yang ramai.

Jonassen mendedahkan pihaknya hampir mencapai persetujuan dengan dua calon jurulatih berpengalaman melibatkan gabungan calon tempatan dan luar negara.

“Kualiti, pengalaman dan rekod pembangunan pemain adalah keutamaan kerana fasa ini menentukan hala tuju pemain ke tahap dunia,” katanya.