PENGENDALI skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Yusof Nasir tidak gusar kehilangan beberapa tonggak seperti Izzat Hilmi Abdul Halil, Nur Aiman Rosli dan Zawawi Azman menjelang saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, selepas tiga pelumba terbabit menyertai pasukan benua tempatan.

Menurutnya, belum ada pelumba yang sudah dapat memastikan tempatnya dalam skuad kebangsaan ke kejohanan itu dan hanya akan membuat penilaian selepas Tour of Thailand dan beliau menjangka memberi ruang kepada muka baharu untuk saingan berprestij itu.

Nur Aiman Rosli tidak lagi bersama Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan.

“Mungkin kita akan mempersiapkan pelumba Bawah 23 tahun (B-23) yang berjaya menunjukkan prestasi luar biasa ketika beraksi di Kejohanan Kebangsaan baru-baru ini,” kata Yusof yang juga bekas pelumba kebangsaan.

Ujarnya, ada pelumba B-23 berjaya memberi kayuhan bertenaga di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Kubu Bharu dengan catatan yang dicatatkan tidak jauh dari pelumba berpengalaman baik dalam acara lebuh raya mahu pun ujian masa.

Zawawi Azman turut menyertai pasukan benua tempatan, MPC.

“Nampak persembahan mereka memberangsangkan terutama dari segi catatan masa yang tidak berapa jauh dengan pelumba senior, begitu juga dari segi pendakian masih boleh berada di bahagian depan.

“Selepas ketiadaan Zawawi, Izzat dan Aiman kami mempertimbangkan untuk menggunakan pelumba B-23. Bagaimanapun, peluang untuk pelumba elit tetap diberikan,” katanya,

Ujarnya lagi, mereka dijangka melakukan persiapan untuk perlumbaan LTdL edisi ke-28 bermula Jun atau Julai depan.

Saingan LTdL 2024 dijangka bermula Jun atau Julai hadapan.

Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Profesional Cycling (MPC).

Selain itu, pasukan dari luar negara dijangka akan menyertai LTdL kali ini membabitkan negara Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun dengan pengesahan penyertaan hanya dapat disahkan pada Ogos nanti.