BUAT julung kalinya dalam sejarah, pasukan hoki lelaki SUKMA Johor akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang enam pasukan bertanding di Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13, hasil cetusan idea Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, YB Mohd Hairi Mad Shah berkata, peluang istimewa ini bakal membuka lembaran baharu dalam pembangunan hoki negeri selain menjadi persiapan terbaik menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. Katanya, pengalaman berdepan Pakistan, Great Britain, Australia, New Zealand, India dan skuad remaja kebangsaan akan menjadi batu loncatan berharga buat skuad muda Johor.

“Ini sejarah baharu hoki Johor. Kami berbesar hati dengan sokongan enam pasukan bertanding dan yakin pendedahan ini akan membantu skuad SUKMA negeri mempersiapkan diri.

“Kejohanan ini akan terus dikenang sebagai platform melahirkan ramai pemain berbakat,” katanya ketika majlis pelancaran rasmi dan penyerahan tajaan SOJC 2025 di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau menerima dana tajaan bagi pihak Pemangku Sultan Johor daripada penaja utama termasuk Kerajaan Negeri Johor, RTM sebagai penyiar rasmi, Tenaga Nasional Berhad, Jcop Corporation Berhad, Astaka Padu Sdn Bhd, JBB Builder Sdn Bhd, Berjaya Corporation Sdn Bhd dan Sermaju, selain beberapa lagi rakan strategik.

SOJC yang sinonim sebagai pentas bakat dunia kini memasuki edisi ke-13 dengan mengekalkan reputasi sebagai kejohanan jemputan remaja paling berprestij di rantau ini.

Pertembungan klasik antara India dan Pakistan dijangka mencuri tumpuan pada 14 Oktober, selain aksi pembukaan India menentang Great Britain serta Pakistan bertemu Malaysia pada 11 Oktober.

India yang pernah merangkul gelaran pada 2013, 2014 dan 2022, bakal kembali memburu kejuaraan, manakala Great Britain hadir selaku juara bertahan dengan empat gelaran keseluruhan selepas menewaskan Australia 3-2 dalam final tahun lalu.