PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tiada perkembangan baharu berhubung isu penggantungan tujuh pemain negara oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan hanya akan memulakan proses rayuan selepas menerima dokumen penuh keputusan penghakiman daripada badan induk itu.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Malaysia NT, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman menjelaskan pihaknya kini berada pada fasa menunggu dokumen tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.

Beliau menegaskan FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan sehingga keseluruhan proses rayuan selesai sepenuhnya.

“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh tersebut diterima,” jelasnya ringkas.

Isu ini menjadi tumpuan selepas FIFA mengenakan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen ketika proses pendaftaran, sekali gus memberi kesan besar terhadap persiapan pasukan kebangsaan.

Walaupun pelbagai reaksi dilontarkan oleh penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan, FAM menekankan bahawa fokus utama ketika ini adalah memastikan prosedur rayuan diikuti dengan teliti demi memulihkan imej negara serta skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

TAMAT