KERINGAT 27 atlet anak jati Terengganu yang beraksi cemerlang dengan meraih pingat pada Sukan SEA Ke-31 di Vietnam baru-baru ini berbaloi apabila mendapat ‘durian runtuh’ daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebanyak RM86,000 keseluruhan wang insentif dihadiahkan kepada atlet-atlet terlibat yang menyaksikan jaguh berbasikal lebuhraya, Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul penerima insentif terbanyak RM 8,000.00 yang disalurkan melalui Insentif Skim Hadiah Kemenangan(SHAKE) selepas meraih dua pingat perak menerusi acara lebuhraya individu dan berbasukan serta pingat gangsa bagi acara kriterium individu.

Sebanyak RM 29,000.00 daripada RM 86,000.00 telah diperuntukkan bagi insentif SHAKE ini kepada lain-lain atlet yang turut meraih pingat buat negara.

Baki RM57,000 lagi merupakan penerima Insentif Skim Wakili Negara (SWARA) kepada 30 atlet kelahiran negeri Terengganu yang layak untuk membuat penampilan di temasya dwi tahunan itu.

“Acara seperti berbasikal lebuhraya khususnya menjadi antara penyumbang terbesar pingat kontinjen Malaysia selain muay thai juga tidak dijangka mampu meraih pingat emas.

Nur Aisyah muncul penerima insentif tertinggi susulan kejayaan pada Sukan SEA 2021.

“Setiap atlet layak menerima RM4,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa) bagi acara individu manakala RM2,500, RM2,000 dan RM1,500 untuk acara berpasukan.

“Malah kejayaan mewakili negara juga telah melayakkan mereka juga diberikan insentif SWARA berjumlah RM1,000 seorang.

“Secara keseluruhan RM143,000 diperuntukkan kepada 57 atlet, jurulatih serta pegawai yang menyertai Sukan Sea di Vietnam,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika majlis penyerahan insentif pada Rabu.

Dalam pada itu Wan Sukairi memberitahu kepada FLASH SUKAN  bahawa pencapaian atlet Terengganu pada Sukan SEA kali ini melebihi sasaran dari yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selaku pemegang taruh kecemerlangan sukan negeri ini.

Turut berlangsung pada majlis ini adalah pemasyuran ketua kontinjen Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Kuala Lumpur yang dipertanggungjawabkan oleh Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang juga menjawat jawatan selaku Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu.