PENJENAMAAN semula nama dan logo pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bukan sahaja bertujuan untuk keseragaman AFL, malah ianya juga diharap dapat menarik lebih ramai penaja berpotensi untuk sama-sama memperkasakan lagi sukan ini.

Selepas kali terakhir penjenamaan logo dilakukan pada 2019, kini semua kejohanan anjuran AFL yang semakin mendapat tempat dikalangan penggiat industri bola sepak tempatan diberikan nafas baharu seiring dengan perkembangan semasa.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kali terakhir penjenamaan logo dan nama kejohanan anjuran AFL dibuat adalah pada 2019 dan kini ia sudah memasuki tahun keenam.

“Perubahan perlu kepada titik permulaan dan kita sememangnya kini dalam usaha untuk meningkatkan nilai komersial kejohanan.

Wajah baharu trofi MBSB Bank Championship musim ini menarik minat penyokong.

“AFL akan menjenamakan semula nama dan logo pertandingan dengan memperkenalkan Liga A1 Semi Pro sebagai nafas baharu kepada Liga M3, Liga A2 (dahulu dikenali sebagai Liga M4) dan Liga A3 Komuniti (dahulu dikenali sebagai Liga M5),” ujar beliau pada majlis pelancaran, Khamis.

Ketika mengulas mengenai Kejohanan MBSB Bank Championship (MBC) 2024/25 yang bakal berlangsung pada Jun ini, Wira Yusoff memaklumkan 16 pasukan bakal berentap memburu gelaran kejuaraan bermula 1 Jun 2024.

Maka secara rasmi, 16 pasukan yang terlibat adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.

Penjenamaan nama dan logo AFL diharap dapat meningkatkan lagi impak prestasi dalam liga.

Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC.

Dalam masa yang sama, Wira Yusoff turut bersikap optimis dalam memastikan liga di bawah Liga Bola Sepak Amatur (AFL) ini lebih tersusun dan sistematik supaya dapat menarik lebih ramai penaja pada masa akan datang.

“Penaja musim ini masih penaja yang sama. Dengan penjenamaan baharu ini, saya harap ada sesuatu yang positif terjadi pada musim akan datang. Penaja baharu juga akan datang apabila lihat liga dibawah AFL ini berjalan dengan baik.

“InsyaAllah bila kewangan sudah mencukupi, kita pun akan tambah nilai ganjaran kepada pasukan. Untuk tahun ini, penyertaan masih sama dan nilai hadiah semua tidak berubah,” kata beliau.