PEMAIN muda negara, Yap Roy King memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada acara beregu lelaki bersama Wan Arif Wan Junaidi selepas gandingan campurannya bersama Valeree Siow terpaksa diketepikan.
Keputusan itu dibuat susulan keadaan Valeree yang memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan panjang, sekali gus menjejaskan perancangan jangka pendek mereka.

Yap Roy King perlu fokus kepada memajukan prestasi dalam acara beregu lelaki bersama Arif Junaidi.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengesahkan perkara itu dan menyifatkan ia langkah paling bijak buat masa ini demi kelangsungan karier Roy King.
“Kalau teruskan juga (beregu campuran), Roy King akan buang tenaga. Valeree belum pulih sepenuhnya dan tak adil untuk teruskan. Lebih baik fokus satu acara dahulu,” katanya.

Gandingan Yap Roy King bersama Valeree Siow menunjukkan kemajuan namun kecederaan ACL dialami menyaksikan Valeree terpaksa berehat panjang.
Rexy turut mendedahkan keputusan itu hadir atas kehendak Roy King sendiri yang tidak mahu terus menunggu dalam keadaan serba tidak menentu.
Katanya, mencari pengganti Valeree dalam masa terdekat juga bukan mudah kerana jurang kemampuan terlalu besar dan tidak sesuai disatukan dengan Roy King di pentas antarabangsa.
Buat masa ini, BAM mahu memastikan Roy King terus berkembang dalam beregu lelaki, manakala Valeree dinasihatkan menjalani pembedahan segera demi masa depan kariernya.