Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking ke-11 dunia mempamerkan aksi luar biasa sejak awal Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang menyaksikan mereka mara ke final buat kali pertama di gelanggang sendiri.
Lebih membuatkan peminat badminton teruja ketika aksi pusingan ketiga menewaskan pasangan dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 21-17, 18-21, 21-19 yang turut merekodkan rali paling lama dilakukan ketika permainan iaitu 211 pukulan.
Malah aksi suku akhir juga Pearly-Thinaah merakam kemenangan dalam tempoh 1 jam 51 minit untuk ke separuh akhir hari ini dan turut menewaskan pasangan dari Korea Selatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, 21-19, 23-21.

Pearly-Thinaah bersedia menentang siapa sahaja di final Malaysia Masters./Pix BAM
Susulan kemenangan tersebut, Norza menganggap Pearly dan Thinaah sebagai srikandi negara yang telah berjaya mengharumkan nama negara.
“Saya rasa ini adalah pencetus kepada semangat baharu badminton Malaysia dan saya berharap semangat ini adalah titik permulaan bagi kelayakan ke Sukan Olimpik (Paris) kerana kita perlukan semangat ini,” ujarnya selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badminton Asia (BA) pada Sabtu.
Dalam pada itu, MoU antara Badminton Asia dan BAM akan menggalakkan dan menerokai kemajuan perkembangan sukan badminton dalam semua segi aspek.
Menurut Presiden BA Kim Jong Soo, MoU ini akan menggalakkan dan memudahkan kemajuan pembangunan sukan badminton.
“Kami akan melibatkan diri dalam program latihan, pertandingan, dan inisiatif kerjasama bagi meningkatkan kemahiran, teknik dan pembangunan keseluruhan atlet, jurulatih serta pentadbir sukan ini,” ujarnya.
Menjawab isu kecederaan yang dihadapi oleh pemain dalam sesi pemilihan 10 yang terbaik, Norza menekankan kepada pemain dan juga jurulatih untuk fokus kepada perlawanan yang bersesuaian dengan pemain demi mengelakkan sebarang kecederaan terhadap mereka.
“Kalau kita lihat pada proses pemilihan 10 terbaik, ada pemain yang cedera dan disebabkan itu nasihat saya kepada pemain atau jurulatih untuk memilih perlawanan yang bersesuaian dengan pemain.
“Tak guna kita pergi back-to-back akhirnya perkara itu akan mendatangkan kecederaan kepada pemain kita dan susah bagi mereka untuk pulih kembali,” jelas beliau.