PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sedia ketepikan hak imej, ketika menyatakan persetujuan sertai skuad negara pada kempen Piala Thomas 2026, 24 April hingga 3 Mei depan.

Menerusi perkongsian di media sosial rasmi Team LZJ, Zii Jia juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang bayaran imej komersil kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Lee Zii Jia telah mencapai persetujuan dengan BAM untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia ke Piala Thomas 2026,” menurut kenyataan itu.

“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili negara sebagai tanda komitmen dan dedikasinya kepada Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Zii Jia merakamkan penghargaan kepada Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei atas kepercayaan diberikan.

Zii Jia menyifatkan peluang itu sebagai penghormatan besar dan berharap kerjasama baharu ini membuka lembaran positif antara dirinya dan badan induk.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992 dan dengan kehadiran semula Zii Jia ke dalam pasukan pasti menyuntik semangat bahari untuk pasukan lelaki memburu kegemilangan.