PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menyifatkan peletakan jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara kolektif minggu lalu sebagai satu langkah berani yang mengutamakan masa depan bola sepak negara berbanding kepentingan peribadi dan jawatan.

Dalam satu kenyataan, PBMM merakamkan penghargaan terhadap keputusan itu yang dianggap mencerminkan sifat tidak mementingkan diri, sambil menyambut baik kehadiran pasukan pemantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan diketuai Vahid Kardany bagi menilai struktur, tadbir urus serta hala tuju baharu FAM.

Menurut PBMM, proses pemantauan dan reformasi tersebut wajar dijadikan landasan pembaikan menyeluruh pentadbiran bola sepak negara agar lebih profesional dan berintegriti.

Seiring perkembangan itu, PBMM mencadangkan penubuhan sebuah panel pemantau bersifat neutral daripada kalangan Ahli Gabungan, khususnya Presiden Persatuan atau Setiausaha Agung yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan diiktiraf keahliannya oleh FAM.

PBMM bagaimanapun menegaskan panel berkenaan tidak seharusnya melibatkan mana-mana bekas Exco FAM yang baru meletakkan jawatan, dengan peranan utama panel itu sekadar memantau tadbir urus serta membantu AFC dari sudut pentadbiran tanpa membuat keputusan dasar.

Dalam nada lebih tegas, PBMM turut mencadangkan agar dipertimbangkan persetujuan semua Ahli Gabungan supaya individu yang telah meletakkan jawatan secara kolektif tidak dibenarkan bertanding semula dalam pemilihan akan datang.

Walaupun mengakui cadangan itu mungkin bercanggah dengan prinsip hak demokratik dan tidak termaktub dalam Statut FAM, PBMM berpandangan langkah berkenaan penting demi memastikan proses reformasi benar-benar “tulen, telus dan bebas daripada konflik kepentingan”.

PBMM percaya tempoh reformasi ini adalah peluang terbaik untuk membina semula asas pentadbiran FAM yang lebih kukuh, profesional dan selari dengan prinsip tadbir urus AFC serta FIFA, sekali gus memulihkan keyakinan Ahli Gabungan dan seluruh ekosistem bola sepak negara terhadap hala tuju baharu badan induk itu demi kemajuan bola sepak Malaysia secara mampan.