PENGENDALI Perak, Datuk Lim Teong Kim gembira apabila berjaya mencatat satu mata dalam kempen Liga Super 2023 selepas pasukan bimbingannya berjaya mengikat PDRM FC 0-0 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Namun begitu beliau turut mendedahkan bahawa masalah utama yang melanda pasukannya ketika ini adalah tidak dapat menjaringkan gol dan berharap pemainnya lebih tenang untuk menyempurnakan peluang.
“Setiap mata adalah penting terutama di tempat lawan dan satu mata lebih penting daripada kehilangan tiga mata. Kami hanya perlu menjaringkan gol. Kami mencipta peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Itu sahaja masalah kami setakat ini.

“Pengalaman bukan punca tetapi mungkin mereka terlalu ghairah dan tidak tenang di depan gawang kerana mereka masih muda. Lebih banyak permainan mereka akan tambah pengalaman dan akan jadi lebih baik,” kata Teong Kim dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya mengenai persiapan pasukan untuk perlawanan seterusnya menentang Kelantan United di Kota Bharu, Teong Kim menjelaskan dia mempunyai lebih banyak pilihan selepas pemain yang digantung sudah bebas dari penggantungan.
“Untuk perlawanan akan datang, pemain yang digantung akan bebas dan akan beri banyak pilihan kepada saya manakala penyerang import kami Christian Obiozor pula baru pulih dari kecederaan dan akan membantu pasukan selepas ini,” tambahnya.

Azzmi Aziz
Sementara itu pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz juga turut berpuas hati dengan tahap intensiti yang dipamerkan pemainnya tetapi pada masa yang sama risau kerana telah melalui dua perlawanan tanpa sebarang jaringan.
“Sami sangat berpuas hati terutama dengan intensiti yang bagus apabila berhadapan pasukan yang mempunyai banyak pemain muda. Kami mencipta peluang tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Kredit pada pemain kerana mereka beraksi sangat bagus terutama selepas tewas besar di Sabah. Pemain lebih peka dan saya sangat berpuas hati dengan satu mata ini.
“Ianya agak merisaukan tanpa jaringan dalam dua perlawanan dan harap pemain lebih tajam untuk perlawanan menentang Kedah selepas ini. Kami akan menganalisa corak permainan Kedah dan berharap dapat mengutip mata di Alor Setar,” katanya.
Perak dan PDRM yang dinaikkan ke Liga Super selepas penstrukturan semula Liga Malaysia dilihat sedikit bergelut dalam dua perlawanan awal setakat ini dan berharap dua perlawanan di tempat lawan selepas ini dapat memberikan sesuatu yang positif buat mereka.