MUSIM 2024 menyaksikan pelbagai perubahan dalam kem Selangor FC, namun ia langsung tidak menggugat semangat penolong ketua jurulatih, Shahrom Kalam. Bekas kapten skuad Merah Kuning itu kini memasuki musim kedua sebagai pembantu kejurulatihan dan tetap teguh walaupun terpaksa beradaptasi dengan tiga jurulatih berbeza dalam satu musim.
Shahrom kembali ke Selangor musim lalu sebagai penolong kepada Nidzam Jamil, namun selepas Nidzam meletak jawatan pertengahan musim, tempatnya diambil alih oleh Abdi Hassan secara interim sebelum jurulatih dari Jepun, Katsuhito Kinoshi atau lebih dikenali sebagai Coach Kino, mengambil alih tugas secara tetap. Situasi ini dilihat sebagai peluangkeemasan buat Shahrom menimba pelbagai pendekatan kejurulatihan.
“Setiap jurulatih ada kelebihan dan cara masing-masing. Saya ambil ilmu yang terbaik daripada kesemua mereka ini sebagai bekalan ilmu apabila saya bersedia menjadi ketua jurulatih sebuah pasukan Liga Super,” ujar Shahrom yang dilihat semakin matang dari segi visi kejurulatihannya.
Beliau turut memuji kelebihan Coach Kino dalam aspek kecergasan pemain. “Coach Kino juga mempunyai kelebihan meningkatkan tahap kecergasan seseorang pemain. Saya lihat sendiri bagaimana seseorang pemain dalam skuad Selangor kini mampu beraksi dengan lebih baik selama 90 minit berbanding sebelum ini,” jelasnya, memberi gambaran bahawa pendekatan sains sukan Kinoshi memberi impak positif kepada prestasi pasukan.
Kini Shahrom sedang mengikuti kursus Lesen Profesional AFC, lesen tertinggi dalam struktur kejurulatihan bola sepak Asia. Namun beliau enggan terburu-buru dan lebih selesa bergerak mengikut perancangannya sendiri. “Saya meletakkan tempoh lima tahun untuk saya bersedia mengendalikan sebuah pasukan,” tegas Shahrom, membuktikan bahawa fokusnya terarah untuk mengendalikan sebuah pasukan Liga Super di masa depan.
Komitmen Shahrom ini menyerlahkan sisi profesionalisme seorang bekas pemain yang serius membina kerjaya pasca persaraan. Sikap tekun dan sabar yang ditunjukkannya menjadi inspirasi kepada generasi muda yang ingin melangkah ke dunia kejurulatihan secara serius.
Dengan pengalaman sebagai pemain kebangsaan dan kapten pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia 2015, serta pendedahan terhadap pelbagai corak kejurulatihan, Shahrom dilihat sebagai antara calon terbaik untuk menggalas peranan ketua jurulatih masa depan dalam Liga Super.
Selangor FC bukan sekadar kelab tempat dia membina nama, tetapi kini menjadi platform penting buat Shahrom membina legasi baharu dalam dunia bola sepak sebagai pendidik, pembimbing dan pencorak masa depan bintang-bintang muda Merah Kuning.