PENGURUSAN Penang FC melakukan tindakan drastik dengan menamatkan khidmat Pengarah Teknikal dan Pengurus Pasukan Liga Super ekoran prestasi hambar yang ditunjukkan skuad Harimau Kumbang ketika ini.
Penang FC gagal mencapai kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan tersingkir dari saingan Piala Malaysia dengan terbaharu tewas kepada PDRM FC, 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
Pengumuman penamatan khidmat kedua-dua individu dalam pasukan itu dibuat menerusi satu kenyataan media oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab kurang 24 jam selepas kekalahan mengejutkan itu.
“Pengurusan tertinggi Penang FC mengambil maklum dan berasa amat dukacita dengan prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2023, termasuk juga kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia 2023 baru-baru ini. Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini.
“Sejurus dengan itu, pengurusan Penang FC telah memutuskan untuk menamatkan khidmat Pengarah Teknikal Kelab, Encik Kamal Bin Kalid dan Pengurus Pasukan Liga Super Penang FC, Encik Ong Eng Hua dengan serta merta di mana kedua-dua individu ini tidak lagi akan terlibat dalam apa jua urusan Kelab dan pasukan selepas ini.
“Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang telah diberikan sepanjang mereka bersama Kelab dan pasukan.
“Dengan ini juga, Ketua Jurulatih pasukan Liga Super yang baharu akan memainkan peranan sebagai Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Pasukan untuk masa yang akan datang. Ini akan memberikan tanggungjawab penuh kepada Ketua Jurulatih yang juga merangkap Pengurus Pasukan untuk mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC.
“Langkah pembaharuan menyeluruh ini adalah untuk membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan, bagi memenuhi harapan dan aspirasi para penyokong dan peminat pasukan Penang FC,” tulis kenyataan itu.
Penang FC kini di tangga kesepuluh Liga Super dengan 19 mata selepas 21 perlawanan dan tersingkir ke saingan Challenge Cup untuk bertemu pasukan dari Liga MBSB Bank Championship, Harini FT yang nyata membimbangkan pihak pengurusan kelab.