SKUAD Penang FC mahu kembali meraih kemenangan selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super apabila berhadapan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Anak-anak buah Manzoor Azwira sedang giat menjalani latihan bagi mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua Liga Super dan berazam untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri meskipun berdepan beberapa masalah kecederaan.

“Memang kita lakukan persiapan yang rapi untuk menghadapi pusingan kedua Liga Super dan tidak mahu kehilangan mata terutama di laman sendiri selepas kalah tiga perlawanan berturut-turut dan juga mahu kembalikan semangat pemain dan kami tidak ada pilihan lain kecuali meraih kemenangan.

“Ada beberapa pemain mengalami kecederaan ringan dan akan tunggu sehingga esok untuk namakan kesebelasan terbaik tetapi berdasarkan dengan apa yang berlaku pada perlawanan lepas, pemain mampu untuk bawa cabaran pasukan dalam perlawanan ini,” katanya.

Manzoor juga mahu pemainnya berhati-hati apabila berhadapan KL City yang mempunyai rekod baik kebelakangan ini namun dia tetap mahu mereka semua berjuang untuk mendapatkan kemenangan dan mahu kemarau jaringan Harimau Kumbang juga ditamatkan.

“Kita melihat kebelakangan ini KL City banyak mencipta kemenangan dan kita mengambil serius kerana mereka mempunyai jurulatih dan pemain yang berpengalaman. Kita perlu berhati-hati tetapi akan berjuang untuk dapatkan mata.

Manzoor Azwira Abdul Wahid

“Pemain import mereka sangat bagus dan perlu hadkan peluang mereka manakala pasukan kami pula mempunyai semangat berpasukan dan cuba atasi pertahanan yang kompak dengan melakukan latihan kombinasi dan jaringan untuk kembali menjaringkan gol,” tambahnya.

Sementara itu pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak pula akan turun tanpa empat tonggak utama apabila Azri Ghani, Akram Mahinan, Romel Morales dan Kevin Ray Mendoza mengalami kecederaan namun dia tidak bimbang dengan kemampuan barisan pemain lain yang mampu menggalas posisi yang ditinggalkan.

“Semua pemain berlatih tetapi Romel berkemungkinan tidak bemain begitu juga Akram dan Kevin yang hanya akan bersedia pada aksi Piala FA menentang Terengganu FC. Azri Ghani sudah pulih dan akan ke Pulau Pinang cuma saya akan tentukan sama ada dia bermain atau di bangku simpanan.

“Azim bermain baik dalam dua perlawanan sebelum ini dan hanya bolos menerusi penalti jadi mengapa saya perlu tukarnya selain ‘squad depth‘ musim ini lebih baik jadi kehilangan pemain utama tidak sangat dirasai kerana mereka mampu bermain dengan baik,” katanya.

Bojan turut berharap momentum kemenangan yang ada pada pasukannya ketika ini dapat diteruskan ketika menentang Penang dan mampu membawa pulang keputusan positif dari Pulau Pinang.

“Anda akan lebih yakin dan bersemangat sekiranya anda menang tidak kira sama ada bermain baik ataupun tidak. Dalam pasukan ini pemain sedar tidak ada kesebelasan utama tetapi kesemua pemain adalah penting dan kami berada pada momentum yang baik selepas menewaskan Kedah, Sabah dan Pahang di tempat lawan dan berharap ianya beri keyakinan buat kami untuk bertemu Penang,” tambahnya.

Bojan Hodak

Ketika aksi pusingan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Februari lalu, KL City melepaskan kelebihan dua gol sebelum diikat Penang pada akhir perlawanan untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.