MEMANDANG jauh memburu tiket ke Olimpik Paris dengan sasaran muncul juara Sukan Asia September depan, skuad hoki kebangsaan mendapat khidmat dua pakar pukulan sudut penalti (pc) Australia, Glenn Turner dan Kieran Govers.

Dua tonggak berpengalaman Australia yang memenangi Piala Dunia 2014 itu mempunyai penyudah berbisa, dibawa ketua jurulatih A.Arulselvaraj untuk menajamkan lagi set pukulan sudut penalti Speedy Tigers.

Malah, perkongsian gandingan dua pakar itu sudah dua kali bersama skuad kebangsaan, bakal diuji pada aksi di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Ogos depan.

Khidmat Turner dan Govers bertujuan memberi input berguna buat pemain negara terutama ketika berhadapan dengan penjaga gol lawan dan juga mencipta penyudah terbaik bagi membantu pasukan memperoleh kemenangan.

Ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj berbincang dengan dua pakar pukulan sudut penalti Australia, Kieran Govers (kiri) dan Glenn Turner (tengah).

Pada Selasa, Turner dan Govers turun ‘membimbing’ skuad negara untuk kali kedua daripada empat fasa latihan dengan setiap satu fasa diisi dengan empat ataupun lima sesi sehingga Jumaat ini.

“Ini kali kedua mereka datang,” kata pengendali skuad lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj.

“Kita akan cuba dapatkan khidmat mereka untuk dua kali lagi. Mereka datang seminggu dan ada empat ke lima sesi. Banyak informasi daripada segi zon serangan.

“Kepakaran Glenn adalah dalam zon enam meter di depan penjaga gol manakala Govers pula lebih di bahagian belakang, pukulannya, tenaga dan kemahuannya. Turner lebih tenang dan kedua-dua mereka ini pernah menang Piala Dunia.

“Saya mahu kualiti yang ada pada mereka (Turner dan Govers), mereka bukan saja tahu menjaringkan gol tetapi juga berpengalaman luas mengenai cara memenangi perlawanan, itu yang paling penting. Mesej saya kepada mereka, berilah sebanyak mana nasihat tetapi fokus masih di depan gol dan keseluruhan jaringan. “

Dalam pada itu, skuad lelaki kebangsaan terpaksa menukar jadual program latihan jelajah Eropah kepada latihan 10 hari di Korea Selatan.

Ketua jurulatih A.Arulselvaraj mahu flicker negara mengambil sebanyak mungkin ilmu yang dicurahkan Kieran Govers dan Glenn Turner.

Arul berkata, ia terpaksa diubah memandangkan skuad kendaliannya perlu menyertai ACT yang dijadual berlangsung di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos ini.

“Saya kena persiapkan pasukan untuk ACT. Ia hanya lima minggu sebelum Sukan Asia. Jadi saya nak pasukan menyertainya. Kita cuba untuk ke luar negara pada bulan ini dan Julai tetapi tak ada pasukan nak main memandangkan masih dalam liga Pro FIH.

“Saya cuba dapatkan India, tapi tak dapat, jadi Jepun atau Korea Selatan menjadi pilihan. Jepun ada program mereka sendiri jadi pilihan kita adalah Korea Selatan dan bermain empat perlawanan dengan pasukan kebangsaan mereka,” kata Arul.

Arul tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap Persekutuan Hoki Asia (AHF) yang gagal merancang kejohanan setahun lebih awal, sehingga mengganggu perancangan pasukan kebangsaan yang sudah 18 bulan merancang ke Eropah bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang pasukan teratas dunia seperti Belgium, Belanda, Sepanyol, Perancis dan juga Australia.