SUSULAN desas-desus mengaitkan kelab Petaling Jaya (PJ) City FC bakal diambil alih Shah Alam FC, Setiausaha Shah Alam City FC, Ahmad Latifi Bakhra tampil memberi penjelasan dan menoktahkan segala spekulasi tentang pengambilalihan PJ City FC.

Latifi Bakhra menafikan segala desas-desus tersebut kerana pasukan kelab dari Shah Alam terlalu banyak dan dia menjangkakan terdapat sedikit kesilapan dalam menilai nama pasukan yang akan mengambil alih kelab PJ City FC.

“Tidak benar, mungkin kelab lain. Di Shah Alam sendiri, dengan banyak kelab bola sepak. Ada Shah Alam Express, ada Shah Alam United , Shah Alam Rovers dan macam macam lagi. Saya boleh pastikan ia tiada kaitan dengan kelab saya, Shah Alam City FC,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jelasnya, pasukan Shah Alam City FC kini tidak terlibat dalam sebarang kejohanan ekoran tamparan hebat pandemik Covid-19 sebelum ini serta berdepan isu kekangan kewangan.

“Buat masa ini, kita dalam mod senyap. Kita tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan. Hanya dalam perlawanan persahabatan sahaja. Ianya kerana belum pulih dari penangan Covid-19. Kebanyakan penaja kami terkesan dengan pandemik tersebut. Dengan sebab itu, kita tiada bajet atau kewangan yang cukup untuk bermain di liga negeri atau mana-mana kejohanan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: MFL Belum Luluskan Sebarang Pengambilalihan PJ City FC buat masa ini

Selain itu, mereka juga hilang kesemua penajaan dari beberapa syarikat yang menaja kos pembiayaan Shah Alam City FC sebelum dihimpit isu pandemik Covid-19.

Antara penaja yang terpaksa menarik balik tajaan adalah PROSAL Events, KIOT Photography, Dobi Cucisini dan Nasi Lemak Pak Ayub.

“Penaja sebelum ini daripada beberapa syarikat. Ada satu syarikat ini dari Event Management, PROSAL Events sebagai penaja rasmi. Mereka membiayai hampir 90 peratus bajet kelab termasuk venue latihan, perbelanjaan logistik.

“Penaja kedua adalah syarikat jurugambar rasmi kami, iaitu KIOT Photography. Selepas itu, kita ada juga penaja syarikat dobi tersebut. Tidak silap saya, Dobi Cucisini.

“Ada juga penaja makanan. Nasi Lemak Pak Ayub di Seksyen 19 , nasi lemak ini memang popular. Kadang-kadang mereka taja air mineral dan kita makan di kedai mereka,” jelasnya.

Untuk gerak kerja seterusnya, mereka akan kembali mengadakan perbincangan bersama seluruh tenaga kerja Shah Alam City FC serta membuat semula kertas kerja baharu untuk tujuan penajaan.

“Buat masa ini, kami tidak ada apa-apa perancangan. Mungkin kita akan revisit semula lepas second quarter lepas raya 2023. Ia dalam bulan Mac atau April, kita akan kembalikan semula pasukan dengan pengurusan serta staf kejurulatihan. Kita juga akan buat kertas kerja baharu untuk mendapatkan penaja.

“Walaubagaimanapun, kelab kami sekarang terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak untuk penajaan,” kongsi mendedahkan Ole turut merupakan penaja jersi dan kit latihan kelab.