PERSIAPAN skuad hoki remaja lelaki kebangsaan ke Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur, Disember depan tidak terjejas meskipun terlepas satu perlawanan persahabatan berharga menentang Jerman, gara-gara cuaca buruk.
Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim yang kini dalam siri jelajah Eropah, tewas perlawanan pertama 8-2 kepada Jerman, kehilangan peluang berharga menentang pasukan itu sekali lagi.
“Sebenarnya saya rasa kesal kerana pemain tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua menentang Jerrman, akibat hujan lebat dan kilat sabung menyabung.
“Satu kerugian besar kerana bagi saya, bukan mudah untuk kita mendapat peluang beraksi menentang pasukan gergasi Eropah tetapi terpaksa akur dengan perkara-perkara di luar kawalan sebegini,” kata Amin, ketika dihubungi Flash Sukan.

Ketua jurulatih hoki remaja lelaki, Muhammad Amin Rahim mahu pemain negara bangkit dengan lebih berani menentang pasukan Eropah.
Susulan terlepas perlawanan kedua menentang Jerman itu, skuad negara kini memiliki empat lagi perlawanan persahabatan dalam siri jelajah Eropah, iaitu menentang Perancis pada 30 dan 31 Ogos serta menentang Great Britain pada 5 September, sebelah pagi dan petang.
“Perlawanan pertama menentang Jerman, kita tewas 2-8, namun saya gembira kerana pasukan mampu memberi saingan kepada Jerman yang baru sahaja menamatkan kejohanan empat penjuru sebagai juara dengan membelasah India 6-1 di final,” kata Amin.

Muhammad Faris Harizan, antara tonggak skuad remaja yang sudah mula jalani latihan bersama skuad senior kebangsaan.
Pada Kejohanan Jemputan Empat Negara membabitkan Jerman, India, Sepanyol dan England di Dusseldorf, Jerman 18 hingga 23 Ogos itu, menyaksikan Jerman muncul juara diikuti India (naib juara), Sepanyol dan England.
“Mereka sebuah pasukan yang tersusun dari segi struktur dan keyakinan, ketika pasukan kita pula ini pengalaman pertama berakasi dengan gergasi Eropah.

Latihan intensif dilakukan pemain negara bagi menghadapi lawan yang lebih besar di Eropah.
“Memang pemain kelihatan gementar dan tidak tersusun. Tetapi saya tetap bangga kerana pemain saya berjaya menjaringkan dua gol masing-masing satu daripada gol padang dan pukulan sudut penalti.”
Justeru, Amin berharap pemainnya menjadi lebih positif menghadapi baki perlawanan persahabatan di Eropah.