HANIS Nadiah Onn boleh mengemukakan rayuan bagi membolehkan dirinya menyertai skuad kebangsaan ke Sukan SEA Kemboja, Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, isu kontroversi membabitkan Hanis sudah diputuskan dalam jawatankuasa siasatan yang disertai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan meminta semua pihak menghormati keputusan itu.

Namun, Hannah memberitahu, pemain berusia 27 tahun itu boleh membuat rayuan kepada Ketua Pengarah MSN, Datuk Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Hannah Yeoh meminta Hanis Nadiah Onn mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Siasatan .

“Ini adalah siasatan bersama MSN and KHM jadi ini adalah hasil penemuan mereka dan cadangan keputusan sudah pun diambil, jadi ini adalah keputusan mereka putuskan, dan kita kena hormatinya.

“Sama ada hendak merayu ataupun tidak, dia (Hanis) boleh berjumpa dengan Datuk Shapawi Ismail atau Datuk Seri Subahan Kamal tetapi itu adalah keputusan yang diumumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan,” kata Hannah kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pada Khamis, Jawatankuasa Siasatan mendapati bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman berhubung satu konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman, 28 Januari lalu.

Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.

Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hanis Nadiah berhati-hati membuat komen, terima penggantungan dengan hati terbuka

Hanis Nadiah tidak rasis.. “Saya kenal dia hampir satu dekad” – K Rajan

Komen berbaur perkauman : Hanis Nadiah digantung wakili pasukan hoki kebangsaan