KETUA jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, secara jujur mengakui skuad bimbingannya kekurangan kualiti selepas tewas 3-2 kepada Nottingham Forest dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi Ahad.
Kekalahan itu menyaksikan Amorim kini hanya meraih empat mata daripada empat perlawanan liga sejak mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag.
Amorim jelas kecewa dengan prestasi pasukannya, terutama ketika mengulas kegagalan skuad Red Devils mempamerkan ketajaman di atas padang.
“Permainan yang sukar. Kami bermula dengan sangat buruk, permainan pertama sahaja kami sudah bolos dan itu menyukarkan kami untuk bangkit.
“Kami cuba mengawal perlawanan dan mencipta beberapa situasi, tetapi tiada banyak kualiti,” katanya kepada BBC Sport.
United bermula goyah apabila Lisandro Martinez gagal mengawal lawan dalam situasi sepakan sudut, membolehkan Forest membuka jaringan seawal minit kedua.
Walaupun Rasmus Hojlund sempat menyamakan kedudukan, kesilapan Andre Onana yang gagal membaca hantaran Chris Wood memberikan gol kemenangan kepada pasukan pelawat.
Amorim turut menjelaskan cabaran besar yang sedang dihadapinya dalam proses membina semula pasukan yang dikendalinya itu.
“Kami berada di permulaan sesuatu yang sangat besar, dan kami menumpukan perhatian kepada setiap perincian.
“Kami tahu ia satu tugas yang besar, jadi kami perlu teruskan usaha ini. Tetapi, untuk maju ke hadapan, kami perlu menang perlawanan untuk memperbaiki pasukan,” tambahnya.
Kekalahan ini juga mencatatkan beberapa statistik negatif buat Amorim, termasuk kekalahan liga berturut-turut buat kali kedua sepanjang karier kejurulatihannya, serta kekalahan liga pertama di laman sendiri sejak Februari 2023.
Manchester United kini bersiap sedia untuk perlawanan Liga Europa menentang Viktoria Plzen pada Jumaat, sebelum menghadapi cabaran besar dalam perlawanan derby menentang Manchester City di Etihad Stadium.
Amorim berharap pasukannya mampu memberikan reaksi yang lebih baik bagi menghentikan rekod buruk tiga kekalahan berturut-turut di gelanggang seteru tempatan mereka itu.