RAHEEM Sterling dan Christian Pulisic merupakan pemain terbaharu Chelsea yang kini berada dalam senarai kecederaan pasukan.

Sterling dan Pulisic menyertai tujuh lagi rakan sepasukannya yang cedera iaitu Mason Mount, Reece James, Wesley Fofana, Ben Chilwell, Edouard Mendy, N’Golo Kante, dan Armando Broja.

Kedua-dua pemain tersebut mengalami kecederaan ketika turut memperkuatkan pasukan menentang Manchester City di laman sendiri yang menyaksikan The Blues tewas 0-1 hasil jaringan pemain gantian lawan, Riyadh Mahrez.

Sterling diganti pada minit kelima kerana mengalami masalah pada hamstring sebelum Pulisic menyusul pada minit ke-22 dan terpaksa diusung keluar.

Pengurus Chelsea, Graham Potter mengakui situasi pasukannya ketika ini amat kritikal namun tetap menghormati semangat juang pemainnya.

“Ketika anda mempertimbangkan segalanya kehilangan Raheem (Sterling) dan Christian (Pulisic) sangat awal, pemain lain memberikan segalanya. Penampilan yang bersemangat melawan pasukan hebat, saya bangga dengan para pemain,” ujar Potter.

Tambahnya lagi, ketika ini memang berat dan saya harus akui begitu juga barisan pemain.

“Kehilangan mereka memang mengecewakan tapi para pemain yang beraksi dan mereka yang masuk sudah memberikan segalanya,” ujarnya.

Kekalahan ini menyaksikan Chelsea turun ke peringkat ke-10 Liga Perdana Inggeris dengan hanya mengumpul 25 mata, ketinggalan 10 mata dari kelompok empat terbaik.