PEMAIN ke-12′ Harimau Malaya yang hadir ke bumi Doha, Qatar dilabel penyokong terbaik dunia oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Apa tidaknya, penyokong hadir ke Piala Asia 2023 tanpa mengharapkan ihsan dan bantuan daripada sesiapa, sebaliknya berkorban wang dan ringgit sendiri demi pasukan bola sepak Malaysia

“Saya rasa pasukan Harimau Malaya mempunyai penyokong terbaik di dunia.

“Ramai yang datang dengan kos sendiri, ambil cuti untuk datang menyokong pasukan dan ini merupakan satu outing yang sangat penting untuk pengalaman  Harimau Malaya kerana kali pertama dalam 42 tahun mereka dapat layak secara merit ke sini.

“Dalam mesej saya kepada pasukan dan pemain, mereka kena buat terbaik bukan untuk negara sahaja tetapi untuk diri mereka sendiri dan keluarga.

“Kita tidak tahu peluang seperti ini datang sekali dalam 42 tahun. Jadi mereka cukup bertuah kerana dapat pengalaman untuk datang bermain,” katanya ketika meninjau sesi latihan rasmi skuad negara di Padang Latihan Universiti Qatar.

Mengulas lanjut, Hannah menjangkakan sokongan padu akan diberikan oleh penyokong sejati Harimau Malaya pada perlawanan kedua Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad.

Malaysia akan turun berdepan Bahrain dan perlu memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan berikutnya.