KETIKA Menara Eiffel menyeru namanya, Ng Tze Yong seakan semakin menghindar dari Paris, apabila disahkan terpaksa menarik diri dari dua lagi kejohanan iaitu Masters Indonesia dan Masters Thailand.
Selepas menarik diri daripada perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia, Tze Yong tidak dibenarkan ‘terbang’ ke New Delhi bagi menyertai Terbuka India dalam memastikan dia menjalani program pemulihan kecederaan otot tulang belakang.
Kini aksi di Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan aksi di Thailand (30 Januari hingga 4 Februari) pula terpaksa dilupakan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kerana Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan.
“Ada perkembangan positif yang ditunjukkan dalam proses pemulihan yang dilalui Tze Yong tetapi pasukan perubatan tidak mahu terburu-buru membenarkannya kembali ke gelanggang.
“Jadi, kita buat keputusan untuk dia tarik diri di Masters Indonesia dan Masters Thailand bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan,” kata Rexy.
Menurut beliau, Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijangka kembali ke gelanggang bermula Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor dari 13 hingga 18 Februari depan.
Tambahnya, selepas aksi di BATC, Tze Yong akan mengharungi jadual yang padat sehingga April depan apabila dia perlu menyertai kejohanan berturut-turut di Eropah dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik Paris.
“Sekurang-kurangnya dia perlu bermain empat kejohanan di Eropah dan satu Kejohanan Asia (individu) pada April. Kejohanan mana yang dia akan beraksi di Eropah nanti akan ditentukan oleh jurulatihnya (Hendrawan),” kata Rexy.
Tze Yong menerima tamparan di Terbuka Malaysia apabila terpaksa menarik diri ketika set pertama pada pertemuan menentang pemain Jepun, Koki Watanabe setelah mengalami kecederaan belakang ketika melakukan pukulan ‘smash’.
Kini, Tze Yong berada di kedudukan ke-13 ranking kelayakan ke Olimpik, ketinggalan dua anak tangga di belakang pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.
Setiap negara boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan lelaki sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.