PENANTIAN 33 tahun menjulang gelaran Seria A semakin hampir direalisasikan Napoli selepas mereka menjarakkan kedudukan 13 mata selaku peneraju liga susulan kemenangan 3-0 ke atas Cremonese.

Khvicha Kvaratskhelia dan Victor Osimhen sekali lagi menjadi tonggak buat skuad kendalian Luciano Spalletti di Stadio Maradona yang masing-masing meledak satu gol buat pasukan.

Kvaratskhelia memberikan kelebihan buat Napoli pada minit ke-22 sebelum Osimhen menggandakan kelebihan jaringan  pada pertengahan babak kedua dan Eljif Elmas 11 minit sebelum tamat mengesahkan kemenangan mereka.

Kemenangan keenam berturut-turt dalam liga memberikan Napoli sekurang-kurangnya kelebihan 13 mata menjelang aksi Inter Milan awal pagi esok yang akan ke Sampdoria.

“Bandar ini sentiasa memastikan kami bersedia, kami semua mahu menang, kami perlu melaluinya satu persatu.

‘Kami tidak boleh merasakan ia sudah berakhir atau memikirkan mengenai perkara lain, atau merasakan ia akan berlaku sendiri,” tegas Spalletti.

Bagi Cremonese mereka masih belum menang aksi pertama Serie A musim ini sejak 1996 dan nampak pasti akan kembali jatuh selepas aksi buruk ditampilkan sejak dilatih baharu, Davide Ballardini.