KEBERANIAN mempertaruhkan pemain muda membuahkan hasil apabila Perak FA melakar kejutan dengan menewaskan KL City FC 2-0 dalam aksi timbal balik pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Ketua jurulatih Perak FA, Syamsul Saad mengakui kemenangan ke atas pasukan Liga Super itu amat bermakna buat pasukannya yang turun dengan kekuatan terhad, namun berjaya menampilkan disiplin tinggi dan komitmen penuh sepanjang perlawanan. “Saya amat bersyukur walaupun kita mempertaruhkan pemain yang sangat muda dan kita bermula dengan seorang sahaja pemain import,” katanya.

Perak membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Ahmad Daniel Hakimi yang menyempurnakan hantaran kapten pasukan, Kamal Arif Azrai, sebelum KL City meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol penyamaan, namun gagal menembusi pertahanan kemas tuan rumah.

Syamsul menegaskan kemenangan itu hadir hasil kepatuhan pemain terhadap pelan permainan yang dirancang. “Pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan bermain dengan bersungguh-sungguh, mengikut apa yang kita rancang dan berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Pendekatan bertahan dan serangan balas Perak terus memberi tekanan kepada pelawat apabila Muhammad Fadhil Azmi menanduk masuk gol kedua pada minit ke-53, sekali gus meletakkan skuad Seladang pada posisi selesa menjelang aksi timbal balik kedua.

Sementara itu, pengendali KL City FC, Vidakovic Risto mengakui pasukannya perlu bangkit dan bekerja lebih keras pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 25 Januari depan. “Pasukan lawan layak untuk menang. Mereka menjaringkan dua gol dan kini kami masih ada satu lagi peluang dan akan berusaha sehabis baik,” katanya.