DRAMA final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berlarutan selepas wisel penamat apabila jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw bertindak meninggalkan sidang media pasca perlawanan susulan ejekan wartawan tuan rumah, sekali gus mencemarkan detik kejayaan pasukannya menjulang kejuaraan.
Insiden itu berlaku sebaik Thiaw memasuki bilik sidang media di Rabat, apabila wartawan Maghribi mengejek lantang sementara rakan media Senegal memberikan tepukan, mencetuskan suasana tegang sehingga jurulatih berkenaan memilih untuk beredar selepas gagal ditenangkan pihak penganjur.
Tindakan itu hadir selepas Thiaw menjadi watak utama kontroversi final apabila mengarahkan pemainnya keluar padang sebagai protes terhadap penalti yang diberikan kepada Maghribi pada masa kecederaan, sebelum Senegal kembali ke padang dan akhirnya menewaskan tuan rumah 1-0 selepas masa tambahan.
Penalti itu diberikan hasil semakan VAR oleh pengadil Congo, Jean-Jacques Ndala selepas Brahim Diaz dijatuhkan oleh pertahanan Senegal, El Hadji Malick Diouf ketika situasi sepakan sudut, namun kem Senegal berang sehingga perlawanan terhenti hampir 14 minit sebelum disambung semula.
Detik dramatik itu memihak Senegal apabila penjaga gol, Edouard Mendy menyelamatkan sepakan penalti ala ‘Panenka’ Diaz, sekali gus menjadi titik kebangkitan menuju gol kemenangan.
Namun, bayang kontroversi terus mengekori kejayaan tersebut dengan Thiaw kini berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), dalam satu final yang digambarkan sebagai “kecoh dan sukar dikawal” walaupun berakhir dengan Senegal menjulang trofi.