SEBAGAI tanda menghargai penyokong setia yang pantas mendapatkan pas bermusim 2024-25, Perak FC telah memberikan peluang buat mereka untuk menyaksikan sesi latihan pasukan secara dekat pada 9 Mac ini di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor.
Para pemegang pas bermusim diberikan peluang untuk berada di ruangan pentas utama pusat latihan itu malah mereka juga akan turut diberikan peluang untuk beramah mesra serta bergambar bersama para pemain Perak.
Pengurusan Perak FC juga telah mengambil inisiatif dengan meletakkan kerusi bertingkat di kawasan luar kompleks di bahagian belakang pintu gol untuk para penyokong yang masih belum memiliki pas bermusim.

Tempat duduk yang disediakan untuk keselesaan para penyokong
Sesi latihan yang bermula jam 4.30 hingga 7.30 petang itu akan turut dimeriahkan dengan jualan barangan rasmi Perak FC termasuk jualan pas bermusim dan pendaftaran baharu ahli TBG Superfan.
Untuk musim ini, Perak telah menyediakan tiga jenis pas bermusim untuk memberikan lebih pilihan kepada para penyokong setia dengan pakej SILVER dijual pada harga RM189.00, GOLD RM300.00 dan BLACK RM1250.00 yang akan memberikan akses kepada semua perlawanan di tempat sendiri
Penyokong skuad Yob semakin teruja untuk mengharungi musim 2024-25 apabila kelab telah mengumumkan kemasukan sembilan pemain baharu dalam skuad bimbingan Yusri Che Lah menjelang sesi latihan pertama pada Sabtu.

Pakej-pakej pas bermusim yang ditawarkan Perak FC
Sembilan pemain itu adalah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Haziq Nadzli, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Tommy Mawat serta tiga pemain import Luiz Henrique Motta dari Brazil, Lee Tae Min dari Republik Korea dan Adilet Kanybekov dari Republik Krygyz.