PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak melihat kehadiran bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal mengundang resah buat pasukannya apabila melayan kunjungan Ulsan HD FC untuk perlawanan keempat Liga Juara-juara AFC Elite2024-25 (ACLE), di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Namun, Bidoglio tetap mengakui bahawa kelab dari Republik Korea itu adalah pasukan yang hebat apabila berjaya menjuarai Liga K1 Korea hujung minggu lalu sekaligus kejuaraan domestik ketiga berturut-turut.
Jurulatih kelahiran Argentina itu juga menyatakan skuad Harimau Selatan telah membuat persiapan rapi menjelang pertemuan itu untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman tatkala memberi tumpuan memperkemas barisan pemain.
“Kami tahu Ulsan pasukan yang baik tetapi saya tidak fikir siapa jurulatih mereka dan hanya fokus kepada pasukan sendiri dan bagaimana saya ingin tingkatkan tahap setiap pemain. Saya hormat Ulsan tetapi kami juga semakin berkembang dan perlu tunjukkan potensi kami pada setiap perlawanan.
“Setakat ini dalam saingan ACLE, pemain telah menunjukkan persembahan terbaik mereka, dan pada perlawanan ini kita akan cuba mendominasi permainan dengan corak permainan yang dinamik seterusnya menekan pihak lawan untuk memperoleh kemenangan.
Pengendali berusia 56 tahun itu juga menegaskan dia perlu menunggu sehingga tamat sesi latihan terakhir pada Isnin sebelum menentukan siapakah kesebelasan utama yang akan dipilih kerana semua pemain cergas dan tidak berdepan sebarang penggantungan.
“Saya mempunyai sehari lagi untuk memilih pemain. Selepas sesi latihan terakhir, saya akan muktamadkan barisan pemain kerana semua pemain mahu bermain di kejohanan ini dan saya gembira dengan skuad yang saya ada,” jelasnya.
Selepas berakhir tiga perlawanan peringkat liga, Harimau Selatan ketika ini menghuni kedudukan kelima Liga Zon Timur apabila mengutip empat mata dengan satu kemenangan, satu seri dan tewas satu perlawanan manakala Ulsan HD pula tewas ketiga-tiga perlawanan tanpa sebarang mata di tangga ke-12.