KETEGANGAN hubungan antara India dan Pakistan menyaksikan skuad sepak takraw negara Asia Selatan itu menarik diri daripada Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 yang akan membuka tirai di Stadium Titiwangsa, esok.

Keputusan mengejut itu disahkan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSTF), Noushad Ahmed Khan yang memaklumkan lapangan terbang antarabangsa di Islamabad ditutup serta-merta ekoran situasi ‘peperangan’ yang makin memburuk.

“Sepatutnya pasukan kami terbang malam tadi ke Kuala Lumpur tetapi semua penerbangan antarabangsa dibatalkan. Kami tidak ada pilihan lain selain menarik diri kerana faktor keselamatan dan logistik,” katanya, dalam lenyataan diedarkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Difahamkan, antara pemain yang sudah bersedia untuk berlepas termasuk enam tonggak utama iaitu Sarfaraz Rehman, Muhammad Khalid, Muhammad Shahroze Alvi, Muhammad Shahid, Aman Kumar Oad dan Aqeel Ahmed. Mereka sepatutnya diiringi ketua jurulatih Dileep Kumar Oad dan pengurus pasukan, Akhtar Ali.

SETIAUSAHA Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader (empat dari kanan) berjabat tangan dengan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF), Noushad Ahmed Khan sambil disaksikan pengadil India, Ankit Kumar (tiga dari kiri) sebelum majlis taklimat kepada para pengadil dan pegawai teknikal antarabangsa Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025 di Hotel & Suite Tamu, Kuala Lumpur pada 9 Mei 2025. – Foto: We Are Sepaktakraw

Pakistan yang meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan kali ini dilaporkan sudah melakukan persiapan rapi dan turut membelanjakan jumlah besar untuk kem latihan serta logistik ke Malaysia.

Pasukan itu diundi dalam Kumpulan A acara kuadran bersama Vietnam, Singapura dan Korea Selatan, manakala dalam acara regu, mereka berada dalam Kumpulan C bersama Vietnam, China dan Jepun. Namun, susulan penarikan diri itu, semua perlawanan membabitkan Pakistan akan dikira menang percuma buat lawan mereka dengan keputusan 2-0 (15-0, 15-0).

Menariknya, walaupun skuad tidak dapat hadir, Noushad tetap akan tiba di Kuala Lumpur kerana beliau kini berada di China bersama pengadil wanita, Tahira Yasmeen, yang akan berkhidmat sebagai juri rayuan kejohanan.

Untuk rekod, Myanmar terlebih dahulu menarik diri minggu lalu berikutan bencana gempa bumi di negara itu, menjadikan dua pasukan terpaksa mengundurkan diri sebelum sepak mula rasmi kejohanan.