MUNGKINKAH akan ada ‘plot twist’ pada pemilihan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sabtu ini? Itulah persoalan hangat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, biarpun setakat ini hanya satu nama yang dicalonkan.

Calon tunggal ketika ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disebut-sebut bakal mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Namun, masih ada ruang untuk kejutan saat akhir.

Ini kerana, menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, tiada had masa ditetapkan dalam perlembagaan badan itu untuk penamaan calon. Malah, pencalonan baharu masih boleh dikemukakan sehingga ke hari pemilihan.

“Setakat ini hanya nama Tengku Zafrul yang kita terima, dicadangkan oleh ahli majlis. Tapi kalau ada pencalonan lain, undian akan dibuat pada hari sama,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Spekulasi bertambah hangat apabila nama Naib Presiden BAM, Datuk Seri Khairudin Abd Samad yang juga Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) disebut-sebut mungkin tampil mencabar Tengku Zafrul untuk penggal 2025-2029.

Sebelum ini, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam mengesahkan majoriti ahli majlis mencapai konsensus untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu selepas temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Flash Sukan pernah melaporkan bahawa Norza menyatakan hasrat meletak jawatan lebih awal, namun diminta kekal sehingga tamat Olimpik atas permintaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.