PENSWASTAAN kelab bukanlah kegagalan seperti yang sering diperkatakan, sebaliknya kelemahan utama terletak pada aspek pengurusan dana oleh pihak pengurusan kelab itu sendiri, tegas Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Sharil Mokhtar.

Menurut Sharil, perubahan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab (FC) adalah tuntutan wajib oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memartabatkan saingan Liga Super ke tahap lebih profesional dan kompetitif.

Sharil menegaskan bahawa penswastaan bukanlah isu sebenar kerana hakikatnya, pengurusan yang tidak cekap dalam mencari dana mampu menjatuhkan kelab walaupun sudah bergerak di bawah struktur FC.

Tambahnya, banyak kelab kini berdepan kesukaran dan kemungkinan ‘angkat bendera putih’ musim depan berpunca daripada kelemahan dalaman, bukan dasar penswastaan itu sendiri.

“Kalau kita imbas kembali, perubahan dari FA ke FC itu adalah keperluan untuk kita bersaing di peringkat lebih tinggi. Jadi, kegagalan itu bukan datang dari penswastaan, tapi dari kelab yang tak mampu uruskan diri mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Sharil berkata dana dan pengurusan perlu bergerak seiring kerana tanpa sokongan kewangan yang stabil, strategi sehebat mana pun sukar untuk direalisasikan.

Dalam konteks Selangor FC, dia mengakui kelab itu antara yang bertuah apabila masih mendapat sokongan padu syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti MBI Selangor dan PKNS yang turut menjadi pemegang saham utama.

“Selangor FC antara kelab yang beruntung. Tapi kelab lain seperti KDA FC, Sri Pahang, Perak… mungkin kurang bernasib baik. Kalau dana kita kurang, kita kena belanja ikut kemampuan,” tambahnya.

Kenyataan ini menjadi satu tamparan halus buat semua pengurusan kelab agar tidak menjadikan penswastaan sebagai kambing hitam, sebaliknya lebih fokus kepada strategi menjana dana lestari agar terus berdaya saing dalam kancah bola sepak moden.

artikel berkaitan: