KETIKA tumpuan terus terarah kepada perkembangan terbaharu kes simbahan asid ke atas Faisal Halim, Selangor FC tampil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pemain sayap sensasi itu, meskipun siasatan kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataannya menyifatkan penjelasan yang diberikan oleh pasukan peguam Faisal menerusi sidang media sebagai memadai, dan kelab tidak bercadang untuk mengulas lanjut berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengecewakan banyak pihak.

Detik jaringan gol sensasi oleh Faisal Halim (Mickey) ketika menentang Korea Selatan antara kenangan ikonik yang diingati sebelum episod duka beliau.

“Seperti yang semua maklum, satu sidang telah diadakan oleh Peguam Faisal Halim untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai siasatan kes berkenaan. Kami percaya penjelasan telah pun diberikan sepenuhnya. Pihak kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Namun, di sebalik kekaburan kes yang masih belum menemukan keadilan, Dr Johan menegaskan bahawa Selangor FC akan terus berdiri teguh di belakang Faisal, atau lebih mesra disapa Mickey, dalam apa jua keadaan. Baginya, sokongan moral dan pemulihan prestasi pemain itu kini menjadi keutamaan bukan sahaja demi kepentingan kelab, tetapi juga harapan besar yang digalas Mickey bersama skuad kebangsaan.

Faisal Halim yang melecur di bahagian badan akibat simbahan asid tahun lalu.

“Kami berharap beliau akan mendapatkan keadilan sewajarnya, insya-Allah, dan sentiasa berdoa agar Mickey kembali kepada prestasi terbaik beliau,” ujar Dr Johan.

Walaupun persoalan siapa pelaku sebenar masih belum terjawab, kesetiaan dan solidariti Selangor FC terhadap Faisal Halim jelas tidak tergoyah satu kenyataan kukuh bahawa perjuangan pemain itu tidak berseorangan.