PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan barisan tengah mereka apabila dua pemain tempatan, Syamer Kutty Abba dan Stuart Wilkin, sah kembali menyarung jersi Harimau Selatan, sekali gus mencuri tumpuan arena Liga Malaysia.
Kepulangan Syamer disahkan selepas KL City mengumumkan pemergian pemain tengah kebangsaan itu yang menyertai The City Boys secara pinjaman selama semusim sejak Julai 2025.
Sepanjang tempoh tersebut, anak jati Pulau Pinang itu merekodkan 13 penampilan dan satu gol, dengan aksi terakhirnya bersama KL City adalah menentang Sabah FC pada 9 Januari lalu. “Selamat maju jaya kepada anda, Syamer. Jumpa lagi!” menurut kenyataan ringkas kelab Lembah Klang itu.
Pemergian Syamer menyaksikan KL City kehilangan satu lagi tonggak utama selepas Haqimi Azim Rosli, sekali gus meletakkan tanggungjawab besar kepada barisan tengah sedia ada termasuk Amirul Aiman Ibrahim, Gorka Larrucea, Madger Gomes, Ryan Lambert dan Zhafri Yahya di bawah kendalian Risto Vidakovic.
Dalam masa sama, JDT turut mengumumkan kepulangan Stuart Wilkin selepas empat musim meninggalkan kelab itu, dengan pengumuman rasmi dibuat menerusi satu video di platform Johor Southern Tigers. “Selepas empat musim pergi, Stuart Wilkin adalah Harimau Selatan sekali lagi! Selamat datang ke Rumah Juara!” kata pengurusan JDT.
Wilkin sebelum ini menyinar bersama Sabah sejak musim 2021/2022, bermula sebagai pemain pinjaman sebelum diikat secara tetap, dan meninggalkan Sang Badak dengan rekod cemerlang 109 penampilan, 17 gol serta 21 bantuan jaringan.
Kemasukan Syamer dan Wilkin menjadikan mereka antara pilihan utama di bahagian tengah JDT, menyusul kehadiran Rui Filipe sebelum ini, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa Harimau Selatan tidak mahu mengambil mudah cabaran domestik dan antarabangsa musim ini.