PENYERANG kebangsaan, Faisal Halim menyifatkan perubahan yang dilakukan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) banyak membawa impak kepada persembahan skuad kebangsaan sehingga berada di tahap yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Faisal atau mesra disapa Mickey berkata semua perlu berterima kasih kepada TMJ kerana sejak menubuhkan JDT pada 2013, pelbagai perkara baik dilakukan bagi memastikan standard dan kualiti pada bola sepak tempatan bertambah baik.

Dia yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan di Taipei turut mahukan lebih ramai individu seperti TMJ tampil melakukan perubahan dalam kelab bagi memastikan bola sepak Malaysia boleh pergi lebih jauh dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya kita ada banyak aspek yang membawa perubahan dalam bola sepak Malaysia tetapi pasukan kebangsaan tidak akan berada di tahap sebegini kalau tidak disebabkan oleh Tunku Mahkota Johor.

“Kita perlu berterima kasih kepada TMJ kerana tindakannya 10 tahun lalu membuat perubahan dalam macam-macam aspek dari segi fasiliti, menaikkan mutu liga dan dapat lihat perubahan itu.

“Pasukan kebangsaan tidak akan berada di tahap ini jika bukan kerana usaha TMJ. Saya sebagai pemain kebangsaan juga berharap ada lagi individu seperti TMJ untuk membantu kelab kerana apabila kelab bagus, pasukan kebangsaan juga akan jadi bagus.

 

“TMJ menjadi individu yang memulakan semua aspek yang membantu skuad kebangsaan dan saya di Selangor ada Raja Muda Selangor (RMS) yang turut melakukan banyak perubahan untuk kelab yang sedikit sebanyak membantu pasukan kebangsaan,” katanya selepas perlawanan.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Chinese Taipei, Mickey berkata dia gembira dapat membantu pasukan mendapat enam mata dari dua perlawanan namun tidak mahu dibuai kerana masih ada kejohanan Piala Asia yang penting pada Januari.

Dia juga turut berasa bangga apabila namanya dan Arif Aiman sentiasa disebut pengendali Chinese Taipei yang sedar akan kemampuan mereka di atas padang namun tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai gangguan kerana masih banyak perkara yang perlu difokus selepas ini.

 

“Kita berjaya dapat enam mata seperti yang disasarkan tetapi perjalanan masih jauh dan masih ada masa untuk perbaiki pasukan. Cukup untuk tahun ini ada selepas ini kita akan kembali dalam kem menjelang kejohanan Piala Asia di Doha pada Januari.

“Sudah tentu kalau perkara sebegitu kita rasa bangga kerana jurulatih luar dapat menilai kami yang bermain di Malaysia tetapi kami tetap fokus kerana masih belum capai kejayaan dan perlu bekerja keras untuk membantu pasukan,” jelasnya.

Faisal dan Arif nyata berjaya menggerakkan serangan demi serangan buat Harimau Malaya meskipun hampa dengan penyudah yang tumpul namun Darren Lok muncul wira dengan gol tunggal kemenangan pada minit ke-72 selepas dia dimasukkan sembilan minit sebelum itu.