MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi tidak perlu berlari habis-habisan apabila mengerah tenaga minimum, untuk melangkah ke separuh akhir 100 meter lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025, Jerman, awal pagi tadi.
Pelari berusia 22 tahun itu menang mudah dalam pusingan pertama saringan ketujuh dengan catatan 10.57 saat, menewaskan pencabar dari Korea Selatan dan Kanada walaupun berdepan hujan serta angin kuat di Lohrheidestadion.
Azeem yang juga pemilik rekod kebangsaan 10.09s mengesahkan tempat ke separuh akhir yang akan berlangsung malam esok waktu Malaysia, manakala rakan sepasukan Aliff Iman Mohd Fahmi terkandas selepas hanya mencatat 11.09s.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, dilihat agak terganggu dengan keadaan cuaca yang tidak menentu biarpun tenang dan kekal positif untuk menghadapi cabaran lebih besar di peringkat seterusnya.
Jaguh Thailand, Puripol Boonson muncul sebagai pelari terpantas pusingan pertama dengan 10.23s.