MENJADI kejohanan jelajah dunia pertama menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Malaysia Masters bakal menyajikan saingan getir kepada semua pemain.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria berkata, setakat ini, hampir semua pemain terbaik dunia terutamanya beregu lelaki yang berada dalam kelompok 10 teratas, mengesahkan akan mengambil bahagian pada kejohanan bakal berlangsung 23 hingga 28 Mei depan.
“Kalau kita lihat dari segi pengesahan, kebanyakan pemain top 10 akan datang ke sini selepas beraksi di Piala Sudirman di China.
“Bagi pemain, kejohanan ini amat bernilai kerana menawarkan mata kelayakan ke sukan Olimpik selain status kejohanan Super500.

“Harapan saya seperti biasa, mereka (pemain) sepatutnya berbangga kerana kita membawa kejohanan di sini, jangan sangsi dan gemuruh.
“Walaupun dikelilingi rakyat Malaysia, semua nak tegok menang bukan hendak menakutkan (pemain), rakyat (peminat) mahu memberi kekuatan dan motivasi, ambilnya dari segi positif,” kata Norza.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Perodua Malaysia Masters 2023 pada Isnin.
Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden BAM, Datuk V Subramaniam.

Sementara itu, Norza berharap pemain memberi aksi terbaik bagi memulangkan ganjaran setimpal kepada peminat yang hadir ke stadium.
Mata kelayakan Olimpik Paris bagi sukan badminton, bermula di Piala Sudirman yang berlangsung di Suzhou, China 14 hingga 21 Mei.
Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia mengakui gementar menjelang pusingan kelayakan Olimpik Paris itu.
“Kita well prepare, dan akan pergi ke satu-satu perlawanan dengan menghidangkan aksi terbaik pada setiap perlawanan,” kata Aaron.