PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan senarai pemain ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) bulan hadapan, belum diputuskan lagi.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, setakat ini.
Biarpun BAM belum membuat keputusan, sebelum ini Lee Zii Jia ada memuat naik hantaran di aplikasi X miliknya, bersetuju dengan pelawaan Rexy untuk pemain ranking ke-10 dunia memperkuat pasukan lelaki mempertahan kejuaraan yang dimenangi pada 2022.
“Sejujurnya saya belum berbincang perkara ini dengan Rexy, mengenai cadangan (memasukkan Zii Jia) itu, mungkin Rexy ada perancangannya sendiri, kita lihat nanti.
“Masih ada masa sehingga 26 Januari untuk memutuskan senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran negara di BATC,” kata Kenny, ketika ditemui.
Selain Zii Jia, Rexy sebelum ini mengesahkan tiga lagi pemain perseorangan lelaki, Ng tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe akan memperkuat pasukan lelaki pada kejohanan yang akan berlangsung di Setia Alam itu dengan pemain beregu belum dinamakan.
“Mungkin cadangan Rexy ini mahu campurkan pemain pelapis dan pemain senior kerana kejohanan begini satu peluang yang baik untuk pendedahan kepada pelapis,” ujar Kenny lagi.
Semalam, pada sidang media di Setia Alam, penganjur iaitu negeri Selangor berkongsi 15 pasukan akan bersaing merebut gelaran dalam pasukan lelaki membabitkan China, Jepun, Indonesia, Malaysia, India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu, Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei.
Manakala wanita pula membabitkan 11 pasukan iaitu China, Jepun, Thailand, juara bertahan Indonesia, Taiwan, India, Malaysia, Hong Kong, China, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu dan Kazakhstan.
India sebelum ini mengesahkan akan menghantar barisan terkuat dalam kedua-dua kategori.
Laporan dipetik daripada “sportstar.thehindu.com” menyatakan pemenang pingat Olimpik dua kali PV Sindhu akan mengetuai pasukan wanita dan pemian nombor 9 dunia, HS Pranoy mengepalai pasukan lelaki ada kejohanan yang akan berlangsung 13 hingga 19 Februari itu.
BATC diletakkan sebagai kejohanan penting buat pemain India kerana menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
Begitupun, pasukan itu turut membabitkan kombinasi pemain remaja berkualiti seperti pemenang pingat remaja Asia (wanita) berusia 16 tahun, Tanvi Sharma dan Ashmita Chaliha.