ATLET berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki mahu tampil aksi lebih jitu perlumbaan selepas ini.

Dia memastikan Malaysia memperoleh sekurang-kurangnya satu penyudah podium dalam Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium (IBTM) di Ghent pada Ahad.

“Alhamdulillah. Dalam bulan Ramadan yang mulia Allah yang maha pemberi rezeki telah memberi sedikit rezeki-Nya untuk saya di International Belgium Track Meeting.

“Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk perlumbaan Nations Cup seterusnya di Kanada. Harapnya doa kalian akan selalu mengiringi perjuangan saya dan pasukan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Pelumba berusia 27 tahun kelahiran Muar itu mengakhiri perlumbaan di belakang Juara Eropah 2022, Sebastien Vigier dari Perancis yang mewakili pasukan Creteil-kronos.

Biarpun Malaysia menurunkan empat atlet dalam separuh akhir, hanya Muhammad Shah Firdaus berjaya menaiki podium sementara yang lain gagal mendapatkan tempat enam teratas untuk ke final.