PRESTASI hambar skuad negara di Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Fukuoka, Jepun akan disiasat.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, bedah siasat yang akan dilakukan itu, bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak susulan persembahan “suam” atlet negara.

“Saya yakin mana-mana atlet yang mengambil bahagian di kejohanan ini, mahu menang dan tiada yang mahu kalah. Saya rasa mereka sudah buat yang terbaik.

“Jadi selepas mereka balik, kita akan adakan mesyuarat cari punca kenapa prestasi kita merudum di kejohanan ini. Jadi kita akan tanya atlet dan jurulatih serta pihak yang terlibat bagi meningkatkan lagi prestasi di Sukan Asia nanti,” katanya.

Pada kejohanan itu, skuad terjun kebangsaan pulang dengan tangan kosong selepas sandaran utama Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri terkandas di pusingan awal dalam acara masing-masing.

Bertrand Roddict mempamerkan aksi cemerlang di Fukuoka, Jepun. -Pix Agensi

Pada edisi lepas di Budapest, Hungary Pandelela merangkul dua gangsa masing-masing dalam acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bergandingan bersama Nur Dhabitah.

Bagaimanapun, menghadirkan ceria buat kem negara di Fukuoka, Jepun apabila penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul atlet Malaysia pertama layak ke Olimpik.

Andy menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian atlet terjun Sarawak itu dan pihaknya akan memohon kepada jawatankuasa program Road To Gold (RTG) supaya mempertimbangkan untuk memasukkan Bertrand ke dalam program itu yang dilihat mampu menaikkan lagi prestasinya.