PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menafikan barisan pemainnya sedikit bergelut untuk menjinakkan Kuala Lumpur City FC sebelum menang 2-0 pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Corak permainan skuad kendalian Bojan Hodak dalam aksi final ini ternyata memberikan kesukaran kepada barisan pemain JDT yang terpaksa bertungkus lumus bagi memburu jaringan tetapi akhirnya mereka berjaya mengekalkan kejuaraan hasil kesungguhan pemain.
“Malam ini anda sendiri lihat ia perlawanan sukar bagi kami kerana ini adalah final. Walaupun kami kerap melakukan serangan dan mencipta peluang tetapi ia bukan mudah namun kami ada keyakinan serta kesabaran untuk terus menguasai permainan hingga apa yang diusahakan mampu dilaksana.
“Aksi babak pertama walaupun kami menguasai permainan tapi kami bergelut untuk robohkan benteng mereka dan akibatnya pemain mula keletihan selepas melakukan pelbagai gerakan dan transisi,”
“Ketika waktu rehat babak pertama, saya beri kata-kata semangat untuk mereka lebih bersabar di babak kedua dan perbaiki kesilapan yang berlaku di babak pertama dan selepas memasuki minit ke-60 dan 70, saya faham bukan mudah untuk kekalkan konsentrasi dan usaha berterusan pemain berikan jaringan buat kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya mengenai persembahan Shio Hong Wan yang meledak gol buat JDT pada minit ke-66 , Solari tidak menduga pemain tengah itu mampu meledak rembatan dari jarak 30 meter sebelum Leandro Velazquez memastikan kejuaraan milik skuad Harimau Selatan pada minit ke-74.
“Saya gembira dengan kualiti permainannya kerana dia pemain yang memberi sepenuh hati apabila beraksi dan saya sering memberitahu kepadanya bahawa masanya akan tiba untuk dia jaringkan gol,” katanya.
Walaupun dalam keadaan gembira, Solari sedikit bimbang dengan kecederaan yang dialami Fernando Forestieri yang dikasari oleh pemain KL City ketika minit terakhir perlawanan.
“Fernando di tendang di belakang lututnya dan belum pasti kecederaan yang dialami. Apapun kami akan melakukan pemeriksa yang terperinci berhubung kecederaan yang dialami dan berharap ianya tidak serius,” ujar Solari.