KETUA jurulatih hoki lelaki negara, Sarjit Singh mengakui anak buahnya melalui detik mendebarkan sebelum bangkit membenam Austria 5-1 dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.
Menurutnya, jaringan awal lawan seawal minit ketiga sedikit sebanyak menguji ketahanan mental pasukan, namun beliau memuji reaksi pantas pemain yang kembali menguasai permainan.
“Sebenarnya kita melalui detik-detik yang agak mendebarkan pada mulanya. Tetapi para pemain sudah bersedia. Kita ketinggalan 1-0 pada awalnya, namun selepas itu kita mula menggerakkan bola dengan baik dan pantas.
“Barisan pertahanan belakang juga beraksi dengan baik. Kita mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan penalti stroke Austria sebelum bangkit menyamakan kedudukan dan seterusnya menguasai permainan hingga tamat perlawanan.
Sarjit berkata, pasukannya sebenarnya berpeluang mencatat kemenangan lebih besar berdasarkan jumlah peluang terhidang sepanjang perlawanan.
“Kita mempunyai kira-kira lima ke enam peluang keemasan. Penjaga gol lawan saya rasa beraksi dengan cemerlang. Kita masih perlu meningkatkan lagi aspek penyudahan atau penukaran peluang bagi pukulan sudut penalti,” jelasnya.
Beliau menegaskan aspek penyudah terutama dalam situasi set piece perlu dipertingkatkan bagi memastikan peluang yang dicipta tidak disia-siakan dalam perlawanan lebih sengit selepas ini.
“Kita perlu memiliki permulaan yang baik, menggerakkan bola ke seluruh padang dan memastikan pertahanan kita sentiasa kental.
“Apabila kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, kita mesti menyempurnakannya. Seperti perlawanan hari ini, kita mengambil peluang yang ada dan berjaya menjarakkan kedudukan serta mengawal perlawanan,” katanya.
Tambahnya, kemenangan itu membuktikan pasukan negara memiliki keseimbangan yang baik antara serangan dan pertahanan, namun ruang penambahbaikan tetap menjadi keutamaan menjelang aksi seterusnya.
Skuad negara dijadual menentang Pakistan dalam perlawanan kedua Kumpulan B malam ini pada jam 7 malam waktu Malaysia.