DI sudut kecil bangku pemain, seorang pemimpin muda duduk memerhatikan permainan dengan penuh tumpuan. Wajahnya tenang, namun sarat dengan perancangan strategik.
Tanggal 24 Januari menjadi tarikh bersejarah dalam kalendar bola sepak negeri Johor. Lebih sedekad yang lalu, pada tarikh ini, bermulalah sebuah revolusi yang bukan sahaja mengubah landskap bola sepak Johor tetapi juga mencipta gelombang baharu dalam sukan paling digemari rakyat Malaysia.
Pada hari tersebut, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), mengambil langkah pertama yang mengubah segalanya.
Langkah itu tidak sekadar membentuk semula bola sepak Johor, tetapi turut menjadi titik perubahan besar buat arena bola sepak tempatan.
Sebelum tahun 2012, bola sepak Johor hanyalah salah satu pasukan domestik yang kurang mencuri perhatian. Namun, beliau melihat potensi dan peluang yang tidak disedari orang lain. Dengan mengambil alih Persatuan Bola Sepak Negeri Johor.
Beliau turut membawa satu visi besar, iaitu untuk membawa bola sepak Johor ke tahap yang belum pernah dicapai sebelumnya. Dari sinilah lahirnya Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kisah JDT di bawah kepimpinan beliau adalah sebuah naratif kejayaan yang luar biasa. Pasukan ini mendominasi Liga Super Malaysia selama sepuluh tahun berturut-turut, mengukir nama di peringkat antarabangsa dengan memenangi Piala AFC, selain mengumpul 17 trofi domestik lain.
Namun, lebih daripada sekadar kejuaraan, beliau berjaya memperkenalkan profesionalisme dan standard baharu yang jarang sekali wujud dalam arena bola sepak tempatan.
Stadium Sultan Ibrahim kini menjadi simbol transformasi tersebut. Dengan reka bentuk moden dan kemudahan bertaraf dunia, stadium ini bukan sekadar lokasi perlawanan tetapi juga sebuah mercu tanda bola sepak yang mengangkat nama Johor di persada antarabangsa.

Stadium Sultan Ibrahim | FOTO: officialjohor
Hari perlawanan di stadium ini menawarkan pengalaman luar biasa dari suasana penyokong yang penuh semangat hingga kemudahan bertaraf dunia yang memikat. Ia lebih daripada sekadar menyaksikan aksi di atas padang, malah menjadi acara penuh keceriaan dan kebanggaan.
Namun, Tunku Ismail tidak pernah berhenti memandang ke hadapan. Selepas mencipta nama di peringkat domestik dan serantau bersama JDT, beliau kini mengalihkan fokus kepada misi lebih besar bersama Harimau Malaya.
Dengan pendekatan sama yang diterapkan di JDT, beliau berusaha membawa struktur pengurusan moden, profesionalisme, dan mentaliti juara kepada pasukan kebangsaan.
Baginya, kejayaan bukan hanya soal kemenangan di padang, tetapi bagaimana bola sepak boleh menjadi simbol kebanggaan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Tunku Ismail bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi juga seorang pemimpi yang berani mencabar norma. Dalam pelbagai wawancara, beliau sering menekankan bahawa visinya bukan sekadar untuk bersaing di peringkat domestik tetapi juga untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.

Dengan pendekatan sama yang diterapkan di JDT, Tunku Ismail berusaha membawa struktur pengurusan moden, profesionalisme, dan mentaliti juara kepada pasukan kebangsaan.
“Luaskan Kuasamu Johor,” slogan ikonik yang sinonim dengan JDT, kini membawa makna yang lebih besar. Ia bukan lagi hanya tentang Johor, tetapi tentang masa depan bola sepak Malaysia.
Dengan Tunku Ismail sebagai penggerak utama, bola sepak negara kini berada di landasan baharu yang penuh harapan. Impian besar beliau bukan sekadar mencipta kejayaan untuk Johor, tetapi meletakkan Malaysia di peta bola sepak dunia.
Di bangku pemain itu, seorang pemimpin yang memulakan langkah beraninya lebih sedekad lalu terus mencorakkan masa depan bola sepak negara dengan visi untuk membina legasi yang akan dikenang, bukan hanya untuk Johor, tetapi untuk Malaysia keseluruhannya.