PEMAIN tengah kebangsaan, Stuart Wilkin meluahkan kekecewaan selepas ditewaskan Tajikistan di laman sendiri pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, semalam.
Malaysia yang dilihat mendominasi permainan telah melakukan beberapa cubaan gol yang sangat baik di depan pintu gol namun ianya tetap tidak memihak kepada Harimau Malaya.
Wilkin dalam masa yang sama juga akur akan keputusan 2-0 walaupun semua pihak telah berhasrat untuk menjulang piala keramat di Stadium Nasional Bukit Jalil tersebut.

Dengan kekalahan yang menimpa skuad Harimau Malaya, Wilkin turut menegaskan bahawa skuadnya kini perlu bangkit untuk menghadapi saingan pusingan kedua bagi kelayakan Piala Dunia yang akan berlangsung November depan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Tajikistan atas kemenangan dan skuad kami sekarang perlu melihat semula kesilapan yang dilakukan supaya dapat perbaiki aksi yang akan datang.
“Kelayakan Piala Dunia yang bakal dihadapi nanti sangat penting dan diberi perhatian 100 peratus oleh setiap pihak termasuk para jurulatih kami. Saya pasti mereka mempunyai rancangan tersendiri untuk memulihkan prestasi skuad,” katanya semasa sesi temu bual selepas perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023.

Sementara itu, pemain tengah kebangsaan iaitu Dion Cools turut sepakat dengan kenyataan Wilkin iaitu mereka berjaya mencipta banyak peluang di pertarungan semalam.
“Peluang besar banyak terbuka buat pasukan kita tetapi takdir tidak menyebelahi dan keputusan telah meletakkan Tajikistan sebagai juara,” sedikit ucapannya dalam sesi temu bual.