PENYERTAAN skuad bawah (B-22) tahun kebangsaan di Piala Merlion 2023 di Singapura tidak akan diperkuat kapten pasukan Mukhairi Ajmal Mahadi kerana mengalami jangkitan kuman dalam perut yang memaksanya berehat.

Pengendali skuad Harimau Muda, E. Elavarasan, berkata pemain berusia 21 tahun itu terpaksa diketepikan selepas mendapat nasihat daripada doktor pasukan yang menyaksikan dia perlu menjalani rawatan.

Elavarasan juga berkata Piala Merlion 2023 yang bakal bermula pada 24 Mac 2023 akan dijadikan medan untuknya memastikan barisan skuad kebangsaan yang terbaik untuk dibawa ke Temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei.

E. Elavarasan

“Mukhairi tidak berada dalam keadaan baik, malah doktor sudah menasihatkannya supaya jangan bermain dan perlu pulih. Atas sebab itu saya fikir lebih baik saya ketepikannya kali ini untuk memastikan dia pulih.

“Kita kini berada di peringkat terakhir persiapan pasukan dan saya harapkan yang terbaik dari pemain saya. Cuma kita ada satu kesukaran iaitu kita terpaksa bermain di waktu petang di bulan Ramadan dan ini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi di Wisma FAM.

Selain daripada itu, Elavarasan juga yakin pasukannya mampu mencapai sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mara ke perlawanan akhir Sukan SEA 2023 nanti.

“Kali terakhir kita jadi juara pada 2011 dan kini sudah 2023. Sasaran itu diletak oleh FAM, jadi untuk pihak kami, kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI itu.

Ketika ini cara kita kendalikan skuad utama dan skuad B-23 ini dia ada peringkat iaitu peringkat 1,2 dan 3. Ketika ini kita berada di peringkat ketiga untuk menghadapi Piala Merlion di Singapura.

“Dari kejohanan ini, kita akan tahu macam mana pendedahan kita di peringkat antarabangsa samada cukup atau tidak dengan pemain sedia ada atau perlu menambah pemain-pemain baharu” katanya.

Skuad B-22 bakal berlepas ke Singapura pada Khamis dan dijadual menentang Kemboja di Stadium Jalan Besar Singapura, Jumaat pada Jumaat dengan pemenang bakal beraksi di final menentang sama ada Singapura atau Hong Kong.