SELURUH peminat bola sepak Malaysia percaya skuad Harimau Malaya boleh mencetuskan kejutan pada Piala Asia Qatar berdasarkan siri kecemerlangan yang dicapai sepanjang 2023.
Malaysia antara pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Namun, berbanding lawan dalam fasa kumpulan, skuad kebangsaan di bawah pimpinan Kim Pan-gon itu menduduki tangga terbawah.
Korea Selatan adalah pasukan dengan ranking terbaik, menduduki tempat ke-23 dunia. Selain Korea Selatan, Bahrain dan Jordan berada dalam ranking 100 teratas. Bahrain berada di kedudukan ke-86 dunia, manakala Jordan hanya satu tangga di belakang Bahrain.
Malaysia pula berada di kedudukan ke-130 dunia. Bagaimanapun, asas keyakinan dapat diagak para pemerhati bola sepak tempatan untuk mempamerkan segala taring di atas padang.
Antara perkara yang dijadikan asas keyakinan ialah peratusan kemenangan yang telah dicapai Malaysia pada 2023. Malaysia mencatat sembilan daripada 13 perlawanan yang mereka harungi, iaitu kira-kira 69.2 peratus.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, senarai 26 pemain di panggil Pan-gon merupakan antara yang terbaik ketika ini dan mungkin ada satu atau dua terlepas gara-gara kecederaan.
“Sudah tentu kita punya harapan kalau dapat rasa Pusingan 16 itu cukup baik, tapi kita perlu berpijak bumi nyata.
“24 pasukan yang bertanding adalah terbaik. Dua pertandingan awal cukup besar untuk kita sekiranya nak mendapat mata dan kalau dapat kita layak ke Pusingan 16, itu satu pencapaian yang bagus.
“Sudah tentu Kim Pan-gon berusaha ke arah tersebut. FAM pun berusaha ke arah tersebut dan saya setiap Kali mengatakan pada coach Kim pentingnya perlawanan pada 15, 20 dan 25 Januari nanti. Keadaan pasukan kita mustahak, semua yang bermain apabila diturunkan dalam mood pemain tinggi.
“Kita harapa akan cuba untuk terbaik pada Piala Asia kali ini,” ujarnya.

Pengalaman Natxo Insa dipentas antarabangsa ditagih skuad Harimau Malaya di Qatar.
Rekod menunjukkan Malaysia mempunyai peratusan kemenangan tertinggi pada 2023 berbanding tiga pesaingnya. Korea Selatan dan Bahrain kedua-duanya mencatatkan peratusan kemenangan sebanyak 50 peratus, manakala Jordan hanya mencatatkan 22 peratus.
Ini adalah modal yang baik yang akan dibawa oleh Malaysia ke Piala Asia 2023. Selain berdepan beberapa lawan yang agak ‘ringan’, seperti Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, Malaysia juga mencatat keputusan yang baik dengan mengikat China dan beraksi cemerlang pada Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam dua perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia mengumpul enam mata. Harimau Malaya bangkit melakar sensasi menewaskan Kyrgyzstan, 4-3 dan meraih kemenangan tipis 1-0 menentang Taiwan.
Malaysia akan menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti dengan pertembungan dengan Bahrain (20 Januari), dan perlawanan menentang jaguh Asia, Korea Selatan (25 Januari).