PASUKAN bola sepak pantai Malaysia kini dalam misi untuk mencipta sejarah apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Bahrain, dan Vietnam bagi saingan Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pantai Jomtien, Pattaya, Thailand, dari 20 hingga 30 Mac depan.
Kejohanan ini menawarkan tiga slot berharga ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai FIFA Seychelles 2025, menjadikannya medan pertempuran yang sengit.
Diundi dalam kumpulan yang mencabar, Malaysia akan menghadapi pasukan-pasukan berpengalaman seperti Oman, juara edisi 2015, dan Bahrain, juara edisi 2006.

Malaysia di undi dalam Kumpulan D di mana Malaysia akan menghadapi pasukan-pasukan berpengalaman seperti Oman, juara edisi 2015, dan Bahrain, juara edisi 2006 dan juga Vietnam, yang kembali selepas hampir satu dekad tidak beraksi di pentas ini. FOTO AFC
Cabaran turut datang daripada Vietnam, yang kembali selepas hampir satu dekad tidak beraksi di pentas ini. Namun, skuad Malaysia tetap optimis untuk mempamerkan prestasi terbaik demi mara ke peringkat suku akhir.
Ini adalah penampilan keempat berturut-turut buat Malaysia dalam kejohanan ini selepas membuat debut sebagai tuan rumah pada 2017.
Prestasi terbaik negara setakat ini adalah mara ke suku akhir pada edisi 2017 dan 2019, namun gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2023.

Piala Asia Bola Sepak Pantai 2023 di Thailand, tahun di mana Pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan. FOTO AFC
Dalam saingan kali ini, skuad negara dijangka tampil dengan persediaan lebih rapi, termasuk aspek taktikal dan fizikal, bagi menghadapi kekuatan lawan seperti Oman yang telah lima kali layak ke Piala Dunia dan Bahrain yang konsisten berada di kelompok pasukan terbaik Asia.
Dengan semangat juang tinggi, Malaysia berharap dapat menebus kekecewaan edisi lalu dan memburu peluang untuk layak ke pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Piala Asia Bola Sepak Pantai 2023 di Thailand, tahun di mana Pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan. FOTO AFC
Keputusan undian ini pastinya menjanjikan aksi mendebarkan buat peminat bola sepak pantai tanah air. Sokongan padu daripada rakyat Malaysia amat diperlukan untuk memberikan motivasi kepada pasukan negara di Pattaya nanti. Sama-sama kita nantikan!
FOTO: AFC