SEPERTI yang telah dijelaskan, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
FAM menjelaskan, kesilapan itu menjadi punca kepada kekeliruan dalam keputusan FIFA baru-baru ini yang melibatkan beberapa pemain warisan Malaysia, menurut FAM ia bukan isu pemalsuan tetapi kesilapan teknikal dalam proses muat naik dokumen.
FAM turut menegaskan bahawa semua pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah dan dakwaan bahawa mereka memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu dianggap tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan.
Menurut kenyataan itu lagi, FAM sudah memulakan penyediaan rayuan rasmi kepada FIFA dengan menggunakan dokumen asal yang disahkan oleh Kerajaan Malaysia serta langkah ini bagi memastikan fakta sebenar dapat dijelaskan dan keadilan ditegakkan.
FAM juga menolak sebarang tuduhan bahawa pihaknya cuai dalam urusan pendaftaran pemain, sebaliknya mereka menganggap perkara ini sebagai kesilapan manusia yang akan diperbaiki dengan penambahbaikan dalam sistem dalaman.
Persatuan itu turut menegaskan komitmen mereka untuk mempertahankan integriti bola sepak negara, FAM berharap rayuan rasmi yang bakal dikemukakan dapat memperbetulkan persepsi serta mengembalikan kepercayaan terhadap pengurusan bola sepak Malaysia.