PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K.Devan mendedahkan bahawa corak permainan`berkampung’ di kawasan sendiri adalah taktikal yang dirancang ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan hasilnya mereka hanya tewas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Devan beranggapan bahawa JDT adalah pasukan yang gemar melakukan serangan dan jika pasukannya juga baik dalam corak permainan menyerang sudah tentu mereka akan menggunakan taktikal serangan.
“Kami tidak boleh bermain secara menyerang apabila berdepan JDT dan dari segi taktikal sama ada anda perlu bijak dalam satu aspek iaitu bermain secara bertahan atau mengamal corak serangan.

“Jadi apabila berdepan dengan pasukan seperti JDT yang memiliki kualiti serangan maka kami perlu bermain dengan secara bertahan dengan baik dan itu apa yang kami lakukan pada perlawanan itu. Jika kami bermain secara menyerang sudah tentu kami akan dikerjakan oleh mereka.
“Apa yang boleh saya rumuskan perancangan yang dibuat beri kesan malah konsentrasi para pemain juga begitu baik dan kami tewas hanya menerusi jaringan `set piece’ berpunca daripada bola mati tandukan sepakan sudut dan sepakan percuma.
Meskipun tewas, Devan tetap gembira dengan disiplin para pemainnya yang tidak membenarkan barisan serangan JDT menyusun serangan berbahaya malah dia bangga apabila pemainnya masih mampu merampas bola dan melancarkan serangan ke kubu skuad Harimau Selatan.

Walaupun skuadnya mengalami masalah kecederaan dengan terpaksa mengenepikan tujuh tonggak utama iaitu, Zaquan Adha, Hafiz Ramdan, Tommy Mamat Bada, Zamri Pin, Shahrel Fikry dan Sean Selvaraj serta Levy Madina yang tidak boleh beraksi kerana pemain ‘gentleman agreement’, namun pemain yang sedia ada berupaya mengimbangi kekuatan skuad kendalian Esteban Solari.
Devan juga tidak kisah apabila susunan jadual liga seakan memperlihatkan pasukannya seperti menjadi ‘sparring team’ buat dua finalis Piala FA dan menganggap perlawanan bertemu pasukan yang berada di tangga lebih atas ini membantu pemainnya membina keyakinan.