TIGA mata penuh menjadi misi utama Kuala Lumpur City FC apabila berhadapan Lion City Sailors dalam aksi ketiga Kumpulan B, Piala Shopee 2024-25 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh pengendali pasukan, Miroslav Kuljanac ketika sesi sidang media pra perlawanan meskipun sedar skuadnya mengalami kekurangan ekoran kecederaan yang melanda beberapa pemain utama.

KL City sudah pasti turun tanpa Brendan Gan yang masih cedera dan Jovan Motika yang mempunyai masalah keluarga, namun Kuljanac yakin pasukannya mampu mengecewakan Lion City Sailors di laman mereka sekali gus mengukuhkan kedudukan untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Kami hadir ke sini dengan semangat yang tinggi selepas mendapat dua kemenangan dari dua perlawanan awal dan mahu mencari tiga lagi mata menentang Lion City Sailors.

Kami tahu mereka kalah dalam dua perlawanan awal tetapi kami perlu menghormati lawan yang pasti akan bermain baik di depan penyokong sendiri dan itu bukan perkara yang merunsingkan saya tetapi masalah yang melanda kelab kami.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan masih belum pulih namun saya berharap ada beberapa pemain lain yang boleh mengisi kekosongan ini untuk mendapatkan tiga mata sekaligus mengukuhkan kedudukan kami dalam kumpulan,” katanya.

 

Dalam sidang media yang sama, kapten pasukan, Paulo Josue senada dengan ketua jurulatihnya dan berharap dapat membawa pulang tiga mata namun sedar akan cabaran berbeza yang perlu dihadapi di Singapura.

“Ketika ini pasukan berada dalam keadaan yang baik dan selepas lama berehat dari kejohanan ini, kami berada dalam situasi yang berbeza kerana kekurangan pilihan akibat kecederaan berbanding dua perlawanan terdahulu.

“Ini juga kali pertama kami bermain di tempat lawan di kejohanan ini dengan suasana dan padang yang berbeza. Kami sedar kekuatan Lion City tetapi kami mahukan tiga mata untuk membuka laluan ke pusingan seterusnya,” jelasnya.

Kuljanac turut menjelaskan keadaan padang tiruan di Stadium Jalan Besar sedikit menggangu namun pasukannya sudah menjalani latihan di padang tiruan sepanjang minggu lalu dan berharap ianya dapat diterjemahkan kepada keputusan yang baik.

Kuala Lumpur City kini berada di tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata selepas menang ke atas Kaya Iloilo dan Borneo Samarinda di Cheras dan manakala Lion City Sailors di tangga terbawah tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Cong An Hanoi dan Borneo Samarinda.