HARIMAU Malaya memburu lonjakan ranking menerusi dua aksi persahabatan Tier 1 antarabangsa menentang China di Guangzhou pada 14 dan 17 November depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata perancangan ini penting dalam usaha skuad negara memperbaiki kedudukan ranking bagi mendapatkan pot yang lebih baik menjelang cabutan undian Piala Dunia 2027 serta kelayakan Piala Asia pada Jun tahun depan.

“Bila bercakap tentang pot yang lebih baik itu, sudah tentunya ranking perlu diambil kira dan disebabkan itu ada perlawanan persahabatan,” jelasnya.

Dua aksi menentang China itu dijangka menjadi platform penting buat Harimau Malaya untuk mengumpul mata ranking selain menilai tahap persiapan pasukan.

“November ini telah pun disahkan yang kita akan mengadakan dua perlawanan dengan Pasukan Kebangsaan China di Guangzhou pada 14 dan 17 November.

“Ini juga persiapan-persiapan yang kita harus lakukan untuk persiapan Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan tersebut insya-Allah,” tambah beliau.

Pertemuan dua kali dengan China turut memberi peluang kepada skuad kebangsaan mendapatkan pendedahan kompetitif menerusi aksi bertaraf Tier 1.

Perancangan itu selari dengan keperluan Harimau Malaya untuk mengukuhkan kedudukan ranking sebelum menghadapi cabaran antarabangsa yang lebih besar pada tahun depan.

Dengan dua aksi tersebut telah disahkan, Harimau Malaya kini mempunyai medan untuk menguji kemampuan pasukan sambil memburu mata penting bagi merealisasikan sasaran bagi mendapatkan pot undian yang lebih baik.